Pasuakan Vulnerability Research Microsoft Edge telah menerbitkan fungsi baharu yang memberikan tumpuan yang lebih jitu terhadap isu keselamatan. Dinamakan sebagai “Super Duper Secure Mode (SDSM)”, fungsi bertujuan menjamin keselamatan pelayar web Microsoft Edge sebaik mungkin tanpa menjejaskan prestasinya.
Ia masih lagi diperingkat pengujian, justeru tidak akan didapati di dalam versi biasa Microsoft Edge. Untuk mendapatkannya, anda perlu mengaktifkan ‘flag’ menerusi edge://flags di versi Canary, Dev, atau Beta.
Sebaik diaktifkan, Super Duper Secure Mode akan membuang Just-In-Time Compilation (JIT) dari talian paip memproses V8. JIT diperkenalkan sejak dari 2008 bagi meningkatkan kelajuan tugasan JavaScript tertentu. Cabarannya di sini ialah, bagaimana untuk membuangkannya tanpa menjejaskan prestasi sesebuah laman web.
Menurut pasukan Vulnerability Research, ralat pada enjin JavaScript adalah kerentanan yang paling digemari oleh penggodam kerana dapat mengeksploitasinya dengan lebih mudah. Antara eksploit biasa pada JavaScript termasuklah Fake an object, Get AddrOf Primitive, dan Arbitary Code Execution.
Melumpuhkan enjin JIT membuang hampir separuh dari ralat V8 yang memerlukan pembaikan, menurut Microsoft. Ini bermaksud pengurangan pada kemaskini keselamatan kepada pengguna. Fungsi “SDSM” yang masih diperingkat pengujian ini juga didapati tidak menjejaskan prestasi penggunaan ketika ia diaktifkan.
Terdapat sedikit peningkatan penggunaan kuasa ketika fungsi ini diaktifkan. Penggunaan ringan seperti membaca blog atau media sosial tidak begitu memberikan kesan buat pengguna. Namun, pengguna mungkin menyedari terdapat pengurangan prestasi apabila bermain permainan dalam talian.