MediaTek secara rasminya telah mengumumkan Helio P65, cipset terbaru di bawah barisan produk peringkat pertengahan siri Helio P. Cipset ini merupakan sebuah cipset okta-teras yang terdiri daripada dua CPU ARM Cortex-A75, enam CPU Cortex-A55 bersama-sama GPU ARM Mali-G52.
Helio P65 hadir dengan beberapa ciri baru dan penambahbaikan yang boleh dimanfaatkan oleh pengeluar-pengeluar telefon pintar, terutamanya pada fungsi AI padanya. Menurut MediaTek, prestasi AI pada Helio P65 adalah 30% lebih pantas berbanding pesaingnya terutamanya di dalam tugas-tugas berkaitan kamera melalui aplikasi Google Lens.
Selain AI yang lebih baik, Helio P65 terbaru ini juga akan menyokong sistem dwi-kamera 16MP + 16MP yang besar yang boleh diperluaskan untuk merangkumi teknologi lensa bersudut luas atau telephoto.Selain itu, cipset ini juga boleh menyokong kamera tunggal 48MP dengan penderia kamera 4-cell. Cipset ini juga turut menyediakan pelbagai pemacu perkakasan untuk teknologi pengimejan lain termasuklah Depth of Field, Electronic Image Stabilisation, dan Rolling Shutter Compensation.
Tidak ketinggalan, Helio P65 turut menyokong memori LPDDR3 dan LPDDR4X, dengan sokongan kapasiti maksimum sehingga RAM 8GB. Kelajuan klok dipertingkat CPU teras-teras utama mampu mencapai sehingga 2GHz. Bagaimanapun, untuk sambungannya pula, cipset ini sekadar mampu menyokong sehingga standard Wi-Fi 5 dan Bluetooth 5.0 sahaja.
Sumber berita diperoleh dari MediaTek