Bermula pada bulan ini, Maybank telah melengkapkan proses peralihan dari One-Time Passwords (OTP) kepada Secure2u bagi transaksi dalam talian. Langkah pemantapan teknologi ini selaras dengan arahan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengurangkan risiko penipuan dalam talian.
Hampir kesemua perkhidmatan dan transaksi perbankan diwajibkan menggunakan Secure2u selepas peralihan tersebut termasuklah transaksi akaun kegemaran yang bermula sejak 4 Julai baru-baru ini.
Pemindahan kegemaran (favourite transfer) tersebut meliputi pemindahan kepada pihak ketiga (third-party), DuitNow, atau GIRO melalui Secure2u. Sebelum ini, pengesahan hanya diperlukan untuk pemindahan kali pertama sahaja untuk akaun kegemaran tersebut.
Melalui pelaksanaan perubahan ini, kesemua transaksi dalam talian untuk pelanggan Maybank memerlukan pengesahan sekali ketik dari aplikasi MAE. Ini termasuklah pemindahan melibatkan tunai atau bukan tunai melalui laman web Maybank2u, aplikasi M2U atau aplikasi MAE dan juga transaksi kad debit dan kredit dalam talian.
Bagi pengguna yang pertama kali mengaktifkan Secure2u pada MAE atau mengaktifkan pada peranti baharu, terdapat tempoh bertenang selama 12 jam sebelum anda boleh menggunakannya.
Maklumat lanjut, layari laman web rasmi Maybank dan juga halaman soalan-soalan lazim.