vivo secara rasminya telah mengesahkan kehadiran telefon pintar peringkat menengah baharunya, siri V40 yang akan diumumkan pada 22 Ogos 2024. Sebanyak dua buah model dari siri berkenaan akan diperkenalkan di pasaran Malaysia kelak.
Model yang dimaksudkan merupakan V40 standard dan juga V40 Pro, dengan vivo V40 telah pun diumumkan secara rasminya di pasaran Eropah. Manakala untuk V40 Pro pula, hanya spesifikasi-spesifikasi pentingnya sahaja yang dihebahkan sedikit. Kedua-dua model telefon pintar ini juga mempunyai kamera yang ditala khas dengan Zeiss bagi memberikan fotografi potret yang lebih menawan.
vivo V40 menampilkan paparan AMOLED 6.78-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz dan tahap kecerahan sehingga 4,500 nits. Di dalamnya, telefon pintar peringkat menengah ini menggunakan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 7 Gen 3 dengan konfigurasi storan dan RAM masih lagi belum diumumkan. Pada fotografinya pula, telefon pintar ini mempunyai kamera utama 50MP dengan OIS, kamera ultra-lebar 50MP dan kamera hadapan 50MP.
Untuk model Pro pula, ia menampilkan ciri kamera yang sama dengan model standard, namun ada penambahan melalui kamera telefoto 50MP. Kedua-duanya juga menggunakan bateri berkapasiti 5,000mAh dengan sokongan pengecasan 80W. Untuk kerintangan air dan debu pula, model standard mempunyai penarafan IP68, manakala untuk model Pro pula ia mempunyai penarafan IP69.