Utama Telco Maxis Maxis dan UiTM jalin kerjasama industri-akademia dalam peningkatan kemahiran digitalisasi

Maxis dan UiTM jalin kerjasama industri-akademia dalam peningkatan kemahiran digitalisasi

58
0

Kuala Lumpur, 8 Mac 2024 – Maxis dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini mengumumkan kerjasama selama tiga tahun untuk memupuk hubungan yang lebih dinamik antara akademia dan industri bagi manfaat pelajar semasa dan graduan UiTM yang akan datang.

Kerjasama tersebut telah dimeterai melalui sebuah majlis Memorandum Persefahaman (MoU), oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng dan Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin 

MoU tersebut memberi tumpuan kepada beberapa bidang:

  1. Perkembangan kerjaya: Memperkasakan pelajar UiTM dengan kemahiran digital yang mempunyai permintaan tinggi melalui program pembangunan kemahiran dan jangkauan pendidikan,
  2. Perkongsian ilmu: Pertukaran pengetahuan dan peningkatan kemahiran di kampus oleh penceramah dan jurulatih jemputan Maxis, dan
  3. Sisa elektronik (eWaste): Sebuah program bersama untuk menggalakkan kelestarian alam sekitar melalui pengurusan e-waste di kampus dengan menggunakan program pengurusan e-waste pengguna Maxis yang berterusan.

Memperluaskan peluang peningkatan kerjaya

Kerjasama itu bukan sahaja merangkumi bidang akademik dan pembangunan kemahiran, malah turut memupuk aktiviti kokurikulum seperti eSukan. Secara kumulatif, program-program di bawah MoU tersebut boleh mewujudkan platform untuk pelajar UiTM membangunkan set kemahiran serba boleh yang akan memupuk kerjasama antara rakan sebaya dan memperluaskan peluang peningkatan kerjaya.

“Inisiatif bersama ini menekankan komitmen kami untuk memberikan belia Malaysia peluang yang tiada tandingan dalam pembelajaran, perkembangan dan pembangunan profesional. Gabungan semangat inovatif Maxis sebagai syarikat telekomunikasi bersepadu terkemuka, dan kecemerlangan akademik UiTM, kami menjangkakan kolaborasi yang akan membuahkan hasil bersama,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng.

“Termeterainya MoU ini, UiTM mengukuhkan dedikasinya untuk memberikan pelajar pengalaman pembelajaran komprehensif yang tidak terhad kepada bilik darjah. Melalui program pembangunan kemahiran, jangkauan pendidikan dan peluang penglibatan, kami dapat membentuk pelajar menjadi pemimpin dalam era digital. Kami berasa sukacita kerana dapat bergabung tenaga dengan Maxis, sebuah rakan industri yang disegani, untuk memperkayakan lagi perjalanan pendidikan pelajar kami,” kata Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin.

UiTM telah menjadi rakan kerjasama dipercayai Maxis dalam bidang pendidikan sejak 2022 melalui kerjasama kedua-dua entiti tersebut dalam penghasilan kandungan e-pembelajaran komuniti untuk portal eKelas Maxis.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.