Home Mobile Telco Kedah mahu jadikan Sambungan Internet sebagai Utiliti

Kedah mahu jadikan Sambungan Internet sebagai Utiliti

19
0

PUTRAJAYA, 2 Sept – Kerajaan negeri Kedah berhasrat menyenaraikan perkhidmatan internet sebagai utiliti ketiga dijadikan syarat kepada pemaju untuk melaksanakan projek pembangunan di kawasan baharu di negeri itu.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bersetuju dengan usul Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah agar Kedah mengiktiraf perkhidmatan internet sebagai utiliti ketiga sebagaimana air dan elektrik diwajibkan dalam mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM), dalam pertemuan mereka di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di sini hari ini.

Saifuddin berkata cadangan itu memerlukan pindaan beberapa undang-undang dan peraturan yang berkaitan.

“Sekiranya kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengiktiraf internet sebagai utiliti, ini akan membantu mempercepatkan proses menyediakan perkhidmatan internet ke kawasan yang akan dibangunkan,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat Muhammad Sanusi.

Saifuddin turut memuji penubuhan pusat sehenti oleh kerajaan negeri Kedah untuk mempercepatkan proses pembinaan dan kelulusan menara bagi perkhidmatan internet di negeri itu.

Saifuddin berkata pada pertemuan itu, kerajaan Kedah juga bersetuju untuk berbincang lebih lanjut mengenai cadangan projek kenegaraan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi pembikinan filem epik, sejarah atau kebudayaan bermutu tinggi.

Menyambut baik cadangan internet sebagai utiliti di Kedah, Muhammad Sanusi berkata cadangan itu akan dibincangkan dengan pihak pemaju yang dijangka memberi manfaat kepada rakyat di masa hadapan.

“Saya rasa Kedah tidak boleh ketinggalan dalam perkara ini (capaian internet) dan ia akan dilaksanakan secepat mungkin. Saya difahamkan apabila Kedah memulakan proses ini, Kedah akan menjadi negeri pertama menjadikan internet sebagai utiliti,” katanya.

Pada masa yang sama, katanya penubuhan pusat sehenti antara lain akan dapat menyelesaikan masalah 75 peratus menara telekomunikasi yang dibina secara haram di Kedah.

“Menara yang dibina secara haram ini biasanya dibuat dahulu kerana proses kelulusan mengambil masa dan kita (kerajaan negeri) ada isu kelulusan dan masalah-masalah lain bagaimanapun perkhidmatan masih perlu diberikan kepada pengguna maka syarikat ambil pendekatan bina dahulu sebelum dapat kelulusan.

“Jadi pendekatan kita adalah untuk mendapatkan penyelesaian yang terbaik kerana kita memerlukan perkhidmatan tersebut dan dengan langkah ini kita harap akan menyediakan perkhidmatan internet ke kawasan yang seluas mungkin bagi rakyat di Kedah,”katanya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.