Apple sedang mempertimbangkan untuk memindahkan antara 15% hingga 30% kilang pembuatannya pembuatannya ke luar China. Menurut Nikkei, syarikat berkenaan juga sedang membincangkan perkara ini bersama-sama pengeluar-pengeluar komponen lain seperti Foxconn, Pegatron, dan Wistron untuk mendapatkan pandangan.
Selain dari China, Apple buat masa ini mempunyai pelbagai pilihan untuk menempatkan kilang-kilang pembuatannya. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang di dalam pertimbangan pihaknya, diikuti juga oleh Mexico, India, Vietnam, dan Indonesia. Bagaimanapun, menurut pegawai yang turut serta di dalam perbincangan tersebut membayangkan kemungkinan India dan Vietnam sebagai pilihan utama.
Langkah menarik keluar sebahagian kilang pemasangannya ke luar China ini salah satunya adalah disebabkan oleh perangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China. Bulan lepas, pentadbiran Presiden Trump telah menandatangani perintah eksekutif menyekat perdagangan gergasi elektronik dari China, Huawei.
Selain itu, Amerika Syarikat juga bakal memperkenalkan dan menguatkuasakan tarif 25% ke atas semua telefon, laptop dan tablet yang dibuat di China bermula hujung bulan ini.
Turut menjadi pertimbangan untuk melaksanakan perubahan ini oleh gergasi teknologi yang berpangkalan di Cupertino ini adalah disebabkan ekonomi domestik China sendiri. Kadar kelahiran yang rendah, kos buruh yang lebih tinggi dan risiko pemusatan pengeluaran dalam satu-satu negara menjadi antara faktor untuk mempelbagaikan hab pengeluaran ke negara-negara lain.
Setakat ini, Apple masih belum menetapkan sebarang tarikh akhir untuk langkah ini kerana masih menunggu saranan pembekalnya mengenai negara mana yang paling sesuai untuk perubahan ini. Pihak Apple juga bagaimanapun tidak menyatakan kesan terhadap tenaga-tenaga kerjanya di China apabila pemindahan fasiliti pemasangan ini dilaksanakan.
Sumber berita diperoleh dari Nikkei