Utama Mobile Telco Korea Selatan terajui kelajuan muat turun 5G global; 50 kali lebih pantas...

Korea Selatan terajui kelajuan muat turun 5G global; 50 kali lebih pantas dari Malaysia

725
0

Korea Selatan merupakan di antara sebilangan negara yang telah melaksanakan rangkaian 5G kegunaan komersial. Negara tersebut bukan sahaja menjadi yang pertama memilikinya, malah menjadi negara yang mampu mencapai keupayaan sebenar telekomunikasi generasi baharu ini.

Berdasarkan laporan dari SpeedCheck, Korea Selatan menduduki tempat pertama di dunia dari segi kelajuan muat turun. Laporan tersebut turut menambah kelajuan di negara berkenaan mampu mencapai sehingga 449 Mbps, iaitu kelajuan muat turun median bagi 5G.

Keputusan ini diperoleh berdasarkan ujian yang dilakukan sepanjang tempoh di antara Februari sehingga Mac 2021. Sebagai perbandingan, kelajuan muat turun 4G di Malaysia adalah sekitar 10.343 Mbps sahaja, menurut data yang disediakan oleh Speedtest pada bulan Mei baru-baru ini.

Melalui akses ke internet berkelajuan tinggi ini, lebih ramai rakyat Korea Selatan yang dapat menikmati manfaat 5G menerusi muat turun fail besar yang lebih pantas, penstriman video berkualiti tinggi, permainan dalam talian bebas lag, dan sebagainya.

Di tempat kedua, Taiwan mempunyai kelajuan memuat turun internet 5G dengan mencatatkan kelajuan median 135.36 Mbps. Angka ini boleh dikatakan amat jauh jika dibandingkan dengan apa yang dicapai oleh Korea Selatan.

Antara masalah kualiti sambungan internet di Malaysia selain dari masalah capaian adalah terletak pada kadar harga yang ditawarkan untuk pakej-pakej internet berkelajuan tinggi. Harga yang disediakan buat masa ini boleh dikira sebagai terlalu tinggi jika dibandingkan dengan purata pendapatan rakyat Malaysia secara amnnya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.