Kingston memperkenalkan kad mikro SD perlindungan tahan lasak melalui siri Kingston High Endurance. Kad mikro SD ini disasarkan untuk kegunaan penulisan data yang kerap seperti yang digunakan untuk kamera video keselamatan dan juga telefon pintar.
Oleh kerana pengkhususan kad mikro SD ini adalah pada ketahanan, kadar membaca dan menulisnya adalah perlahan sedikit berbanding kad mikro biasa. Kadar bacaan dan menulisnya adalah masing-masing pada 95Mbps dan 30Mbps untuk versi 32GB dan 64GB. Untuk versi 128GB pula, kadar menulisnya adalah pada kadar 45Mbps.
Walaubagaimanapun, kad ini mendapat pengiktirafan A1 yang membolehkannya mencapai kelajuan optimum ketika menjalankan aplikasi-aplikasi Android.
Selain itu, kad mikro SD ini juga menggunakan piawaian UHS Speed Class 1 (UHS-1) bagi memastikan ia mampu mencapai kelajuan minimum 10Mbps.
Sesuai dengan ciri tahan lasaknya, siri kad mikro SD terbaru dari Kingston ini turut menyediakan perlindungan IEC/EN 60529 IPX7. Ini menjadikannya dilindungi apabila direndam di dalam air berkedalaman sehingga 1 meter selama 30 minit. Ia juga mampu bertahan dalam keadaan suhu yang ekstrem, iaitu daripada -25°C hingga 85°C.
Hadir dengan tiga variasi pilihan kapasiti iaitu 32GB, 64GB dan 128GB, Kingston menyediakan waranti selama dua tahun untuk sebarang kerosakan kad mikro SD berkenaan.