Penganalisis berpendapat keuntungan Samsung dijangkakan merosot sehingga hampir separuh akibat kelembapan dari perniagaan semikonduktor. Sekatan terhadap Huawei yang secara langsung turut menyebabkan sebahagian penghantaran ditangguhkan memburukkan lagi keadaan.
Refinitiv SmartEstimate, sebuah firma kajian pasaran menjangkakan syarikat elektronik dari Korea tersebut bakal menjana keuntungan operasi sekitar $5.14 billion berdasarkan data dari 29 penganalisis. Angka ini adalah 60 peratus merosot jika dibandingkan dengan keuntungan pada tahun lepas.
Samsung merupakan pembekal terbesar cip DRAM dan NAND di dunia dan menjana dua pertiga dari keseluruhan keuntungannya. Selain dari persaingan dengan Huawei, harga untuk cip juga kekal rendah sejak kebelakangan ini, menyukarkan lagi Samsung meningkatkan kadar keuntungannya. Penganalisis menjangkakan harga cip ini akan terus kekal rendah sepanjang tahun ini.
Bagaimanapun, untuk jualan telefon pintar pula Samsung dijangka bakal menerima manfaat andainya pengharaman terhadap Huawei dikekalkan. HI Investment & Securities menjangkakan Samsung mungkin mampu menjual 37 juta lebih banyak telefon pintar dalam setahun. Seterusnya, dapat menampung kemerosotan yang dialami pada bahagian pengeluaran cip.
Masalah yang dihadapi Samsung tidak terhad dari perkembangan perang perdagangan antara A.S. dan China sahaja. Jepun pula baru-baru ini telah mengehadkan penghantaran beberapa bahan kimia yang penting di dalam proses pengeluaran cip semikonduktor ke Korea Selatan.
Sumber berita diperoleh dari Reuters