Kerajaan berhasrat untuk mengkaji membangunkan sebuah platform media sosial khas untuk rakyat Malaysia, menurut Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil. Beliau menyatakan pertimbangan ini timbul dari kebimbangan platform sedia ada yang lebih mengejar keuntungan dan kelemahan dalam menjamin keselamatan pengguna di dalam negara.
“Tahun lepas dianggarkan Facebook sahaja mengaut keuntungan AS$600 juta (~RM2.6 billion) dari Malaysia, tetapi apa yang mereka lakukan untuk memastikan keadaan dan penggunaan platform mereka di Malaysia ini selamat?
“Saya lihat mereka tidak ada kesungguhan, jadi kita perlu kaji dan perlu lihat, tidak mudah untuk membangunkan platform media sosial sendiri, tetapi ada beberapa negara telah cuba… kita akan teliti dulu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Himpunan Pembebasan Palestin di Bukit Jalil semalam.
Beliau juga telah merjumpa dengan Datuk Aznil Haji Nawawai, pengacara dan selebriti terkenal yang memberikan cadangan tersebut selepas tindakan Meta menurunkan hantaran berkaitan Palestin di platform-platformnya sejak kebelakangan ini.