Kelajuan jalur lebar mudah alih di Malaysia kini adalah 40.13Mbps, menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM). Angka ini dinyatakan menerusi laporan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Suku Pertama 2022.
Bagi anda yang mengikuti perkembangan JENDELA sejak setahun setengah yang lalu, anda mungkin menyedari angka ini datangnya dari Ookla Speedtest Global Index. Sungguhpun pihak Ookla telah mengubah kaedah pengukurannya kepada kelajuan memuat turun median, SKMM masih lagi kekal menggunakan kaedah sebelumnya bagi memastikan konsistensi dalam pelaporannya.
Secara amnya, prestasi 40.13Mbps yang dicatatkan pada suku pertama 2022 ini lebih tinggi berbanding yang dicatatkan pada suku pertama 2021 iaitu 25.44Mbps. Berdasarkan catatan tersebut, kelajuan jalur lebar mudah alih merupakan elemen pertama di dalam JENDELA yang mencapai matlamat asalnya iaitu 35Mbps menjelang penghujung 2022.
Bagaimanapun, jika anda melihat pada nilai median pula, kelajuan yang dicatatkan adalah lebih rendah iaitu 25.87Mbps. Namun, masih lagi lebih tinggi jika dibandingkan pada tahun lepas iaitu 17.71Mbps. Pun begitu, syarikat telekomunikasi di Malaysia perlu meningkatkan kualiti perkhidmatannya kerana kelajuan internet mudah alih purata median bagi seluruh dunia adalah 29.96Mbps, atau bersamaan dengan min 73.50Mbps.
Kedudukan Ujian Kelajuan Ookla bagi Negara-Negara di Asia Tenggara bagi bulan Mac 2022
Negara | Kelajuan Muat Turun Median (Mbps) | Kedudukan dunia (Median) | Kelajuan Muat Turun Min (Mbps) | Kedudukan dunia (Min) |
Malaysia | 25.87 | 73 | 40.13 | 72 |
Singapura | 67.99 | 20 | 124.78 | 19 |
Brunei | 71.38 | 18 | 89.83 | 31 |
Thailand | 33.49 | 58 | 73.09 | 43 |
Vietnam | 33.9 | 56 | 46.48 | 65 |
Filipina | 19.38 | 93 | 45.48 | 66 |
Laos | 23.41 | 78 | 30.06 | 93 |
Kemboja | 16.12 | 112 | 27.63 | 100 |
Data diperoleh dari Ookla Speedtest Global Index Mac 2022
Selain itu, kebanyakan negara-negara lain di Asia Tenggara juga telah meninggalkan kita dari segi kelajuan internet mudah alih seperti Brunei, Thailand, Vietnam, Filipina, dan Singapura berdasarkan data terkini dari Ookla. Walaupun telah mencapai sasaran Fasa 1 JENDELA, pihak syarikat telekomunikasi tempatan tidak boleh merasa terlalu selesa dengan prestasi semasa mereka.