Casio telah mengumumkan sebuah lagi jam tangan model G-Squad ke pasaran Malaysia melalui G-Shock G-Squad Pro GSW-H1000. Pertama kali diperkenalkan pada April lalu, GSW-H1000 merupakan G-Shock pertama yang menggunakan sistem operasi Google Wear OS.
Jam tangan pintar ini direka dengan kelebihan mampu bertahan di dalam air pada kedalaman sehingga 200 meter. Ia juga dilengkapkan dengan paparan sesentuh dwi-lapisan 1.2-inci yang mengandungi panel paparan berwarna dan monokrom.
Sebagaimana yang dijangkakan pada jam tangan pintar berorientasikan kecergasan, terdapat pelbagai sensor telah dimuatkan ke dalam GSW-H1000. Antaranya, sensor kadar denyutan nadi berasaskan optikal, accelerometer, gyrometer, sensor magnetik, dan sensor tekanan.
Ukuran jarak melalui GPS pada jam tangan G-Shock G-Squad
Jam ini juga mempunyai sokongan terbina dalam untuk GPS dan GLONASS, selain mempunyai sokongan Sistem Satelit Michibiki/Quasi-Zenith yang dikendalikan oleh Agensi Penjelajahan Aeroangkasa Jepun.
G-Shock G-Squad Pro GSW-H1000 juga hadir dengan aplikasi pra-pasang dari Casio yang menyediakan fungsi menjejak 15 aktiviti. Ia merangkumi aktiviti seperti berlari, merentas desa, berbasikal di jalan raya, berbasikal, berbasikal bukit, berenang, meluncur, berlayar, berkayak, mendayung sampan, meluncur salji, berjalan, dan juga memancing. Anda juga boleh menggunakan jam tangan pintar ini bagi menjejak 24 jenis aktiviti senaman dalam rumah.
Dari segi ketahanan baeri, Casio menyatakan G-Shock G-Squad Pro GSW-H1000 mampu bertahan waktu penggunaannya sehingga sehari setengah di dalam mod normal. Pun begitu, waktu penggunaannya boleh dilanjutkan sehingga ke 1 bulan jika anda hanya menggunakan fungsi masa dan sensornya sahaja. Jam tangan ini juga mengambil masa sehingga tiga jam untuk dipenuhkan melalui kabel pengecas bermagnetnya.
Sama seperti model-model lain di bawah barisan G-Squad, anda boleh memuat naik dan menganalisis data rutin senaman anda melalui aplikasi G-Shock Move. Untuk harganya, G-Shock G-Squad Pro GSW-H1000 kini boleh didapati di Malaysia pada harga RM 2,999.