Agensi berita Iran pada petang Selasa lalu telah meminta orang ramai supaya membuang WhatsApp dari telefon pintar masing-masing. Gesaan tersebut dibuat atas sebab dakwaan aplikasi permesejan tersebut mengumpulkan maklumat pengguna untuk dihantar ke Israel.
Di dalam kenyataannya, WhatsApp menyatakan pihaknya “mengambil maklum laporan palsu tersebut digunakan sebagai alasan untuk menyekat perkhidmatannya di saat ia diperlukan oleh orang ramai.” WhatsApp menggunakan enkripsi hujung-ke-hujung yang menghalang penyedia perkhidmatan dari membaca mesej yang dihantar.
“Kami tidak menjejak lokasi tepat anda, kami tidak menyimpan log sesiapa sahaja yang menghantar mesej dan kami tidak menjejak mesej peribadi yang dihantar oleh orang ramai,” menurut satu kenyataan yang dikeluarkan. “Kami tidak menyediakan maklumat secara pukal kepada mana-mana kerajaan.”
Enkripsi hujung-ke-hujung merupakan kaedah mencampur-adukkan maklumat yang hanya boleh dilihat oleh penghantar dan penerimanya sahaja. Jika mana-mana pihak yang memintas mesej tersebut, apa yang dapat dilihat hanyalah kod-kod yang tidak difahami dan hanya boleh disusun semula melalui kunci antara penerima dan penghantar.
WhatsApp dimiliki oleh syarikat Meta, yang turut menjadi induk kepada platform Facebook dan Instagram.