Internet sudah penuh untuk benua Amerika Utara. Protokol baharu menggantikan IPv4 perlu segera digunakan. Badan yang bertanggungjawab menguruskan alamat internet di Amerika Utara, American Registry for Internet Numbers (ARIN) telah kehabisan alamat berprotokol IPv4.
ARIN telah menolak sebahagian permohonan-permohonan baharu menggunakan protokol IPv4 kerana jumlah permohonan baharu terlalu banyak dan baki alamat yang sedia ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan. Situasi ini sudah diramalkan sejak sekian lama dan ARIN telah menyediakan polisi untuk menanganinya. Organisasi yang inginkan ruang alamat yang lebih besar perlu menggunakan ruang pemindahan IPv4 (IPv4 transfer market).
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan prosedur Phase 4 kami dipatuhi sepanjang tempoh unik dalam sejarah IPv4 ini (Our number-one priority is ensuring Phase 4 procedures are followed during this unique time in the IPv4 history),” ujar Encik Richard Jimmerson, Ketua Pengarah Bahagian Maklumat ARIN dalam satu kenyataannya di dalam blog.
IPv4 adalah protokol yang diyakini dan digunakan untuk menyokong 4.3 billion alamat internet sejak dari kemunculannya. Pada jumlah yang sebesar ini, ia masih lagi tidak mencukupi untuk menampung keperluan semasa yang berpunca dari pertambahan jumlah peranti bersambungan internet yang meningkat dari hari ke hari.
Menurut perkiraan ARIN, jumlah alamat IPv4 yang tinggal hanya sekitar 134,000 sahaja. Penyelesaian alternatif terbaik pada masa ini adalah dengan menukar ke protokol IPv6 yang mampu menyediakan alamat internet sehingga 340 trillion peranti.
Walaupun ramalan dari Gartner menjangkakan sejumlah 25 billion peranti akan menggunakan protokol IPv6 menjelang tahun 2020, ia dirasakan masih mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya 2 atau 3 dekad lagi.
Pernomboran alamat IP yang sedia ada menggunakan turutan seperti contoh berikut, 68.89.31.226. Manakala untuk IPv6 nanti pula menggunakan lapan nombor 4-digit heksadesimal (di mana nombor 10 hingga 15 diwakilkan dengan abjad a hingga f). Contohnya adalah seperti berikut, 2001:db48:1f70:54e3:9399:def8:7648:6ef8.
Sesetengah syarikat gergasi seperti Google sudah pun beralih menggunakan protokol baharu IPv6. Namun, masih terdapat banyak lagi syarikat yang masih lagi kekal menggunakan protokol IPv4.
Masih ramai lagi pihak yang mengamalkan pendirian tunggu dan lihat berkenaan alamat IP ini walaupun pada hakikatnya, tempoh untuk menunggu tanpa mengambil apa-apa tindakan proaktif sudah semakin suntuk.
Nice blog..good work..