Utama Komputer Bahaya Gangguan Elektrik terhadap Komputer Anda

Bahaya Gangguan Elektrik terhadap Komputer Anda

3356
1

Biasa kalau tengah ribut petir, adakah anda masih lagi menggunakan komputer anda? Jika anda jenis yang tak ambil kisah tentang menggunakan komputer ketika cuaca ribut petir dan tak ambil peduli tentang keadaan bekalan elektrik lokasi anda menggunakan komputer, anda perlu membaca artikel ini.

Umum sudah mengetahui bahawa kejadian ribut petir atau gangguan bekalan elektrik mampu merosakkan peranti elektronik atau silap-silap hari bulan boleh meletop. Masalah berkaitan gangguan elektrik tidak terhad hanya pada terputus bekalan elektrik, ianya lebih dari itu.

Untuk itu, anda perlu tahu risiko gangguan bekalan elektrik dan apakah kesannya terhadap komputer dan peranti anda. Juga, apakah yang boleh dilakukan oleh anda untuk melindunginya.

Jenis-jenis gangguan elektrik

Elektrik yang mengalir masuk ke rumah anda adakalanya tidak konsisten. Ada masa ianya tinggi dan ada masanya ia rendah. Kadang-kadang voltannya berkurang dan ada masanya voltan terlebih pula. Kesemua ini boleh mendatangkan kesan terhadap penggunaan peranti kita.

Apabila berlaku keputusan bekalan elektrik atau blackout, ia disebabkan oleh masalah yang diluar kawalan kita seperti masalah di pencawang utama, kabel talian dan sebagainya. Adakalanya ia juga disebabkan oleh masalah yang berlaku di dalam rumah kita sendiri seperti litar pintas atau beban voltan yang terlebih kerana penggunaan perkakasan-perkakasan elektrik berkuasa tinggi.

Kadang-kadang berlaku juga masalah voltan rendah yang juga dikenali sebagai brownout. Masalah brownout adalah masalah voltan rendah yang berlaku buat seketika. Biasanya brownout berlaku apabila anda perasan yang lampu anda secara tiba-tiba menjadi malap.

Bukan voltan rendah sahaja yang boleh memberikan masalah, voltan terlebih pun boleh mendatangkan masalah juga. Pertambahan voltan secara mendadak (power surge) walaupun untuk tempoh sekurang-kurangnya 3 nanosaat boleh memberikan kesan terhadap peranti elektronik seperti komputer. Keadaan cuaca ribut petir juga boleh menyebabkan pertambahan voltan secara mendadak walaupun untuk tempoh yang kurang dari 1 atau 2 nanosaat pun boleh menyebabkan kesan kerosakan.

Kenapa terputus bekalan elektrik dan pertambahan voltan elektrik merbahaya

Bahaya paling besar yang diakibatkan oleh terputus bekalan elektrik dan juga pertambahan voltan secara mendadak adalah komputer akan terpadam secara mengejut. Sistem operasi komputer adalah sangat kompleks dan ia perlu ditutup mengikut aturannya (shutdown sequence) untuk memastikan kesemua proses yang sedang dijalankan telah ditutup sebelum ianya dimatikan. Kehilangan tenaga elektrik secara tiba-tiba boleh mengganggu thread-thread yang penting dan membuatkan komputer anda rosak.

Fail sistem adalah paling mustahak. Ambil contoh apabila cakera keras anda berhenti berfungsi dan kebetulan ia sedang menulis fail sistem yang berkaitan dengan proses boot. Jika fail tersebut telah rosak, anda tidak boleh menggunakan komputer anda melainkan perlu melakukan prosedur pemulihan (recovery).

Lagipun, masalah bekalan elektrik yang kerap terputus boleh mengurangkan hayat penggunaan cakera keras tersebut. Kepala baca-tulis yang berada tergantung di atas plat cakera keras ketika beroperasi akan kembali ke posisi asal secara mengejut jika berlaku keputusan bekalan elektrik. Jika keadaan ini berlaku dengan amat kerap, ia boleh meningkatkan kebarangkalian untuk berlakunya ‘head crash’. Bila head crash berlaku, kepala (head) baca-tulis akan mencalarkan permukaan plat cakera keras dan ini akan membuatkan cakera keras anda langsung dah tak boleh pakai.

Solid-state drive juga tidak terkecuali dari mengalami kerosakan yang diakibatkan dari kehilangan kuasa elektrik secara tiba-tiba. Masalah-masalah yang selalunya dikaitkan dengan gangguan elektrik ini adalah masalah kerosakan pada kandungan data.

Harus diingat, walaupun keputusan bekalan elektrik boleh merosakkan cakera keras komputer ia tidak akan menyebabkan kerosakan pada perkakasan-perkakasan komputer lain seperti papan induk, RAM dan lain-lain. Namun, jika masalah pertambahan voltan secara mendadak (power surge), ia mampu mendatangkan kerosakan besar terhadap keseluruhan perkakasan komputer.

Punca utama kejadian pertambahan voltan secara mendadak ini biasanya disebabkan oleh petir. Untuk rumah kediaman, voltan yang ditetapkan oleh pihak TNB adalah 240 V. Bagaimanapun, jika dipanah petir, voltan yang mengalir mampu mencapai sehingga jutaan voltan.

Peranti-peranti elektronik seperti komputer tidak mampu menampung kuasa elektrik sebegitu besar. Pastinya, peranti elektronik yang disambar petir akan hangus litarnya dan tidak dapat dibaiki lagi.

Kalau anda degil jugak nak pakai peranti elektronik seperti komputer atau permainan konsol PlayStation ketika cuaca ribut petir, jangan tanya kenapa komputer atau PlayStation anda tetiba padam dan rosak terus.

Melindungi dari gangguan bekalan kuasa Elektrik

Cara paling mudah untuk mengelakkan komputer anda dari rosak akibat masalah bekalan elektrik adalah dengan menanggalkan terus plug dari soket elektrik. Tutup suis pun kadang tak jadi apa bila talian elektrik anda dipanah petir.

Belkin Power SurgeTapi ada masanya perkara-perkara malang sebegini memang sukar dijangka. Bak kata orang tua-tua, malang tidak berbau. Untuk itu, cara sebaiknya adalah menggunakan pelindung pusuan (terjemahan terus dari surge protector). Ia berfungsi dengan mengubah haluan pusuan elektrik yang meningkat secara mendadak jauh dari peranti yang disambungkan melaluinya.

Selain dari pelindung pusuan, anda juga boleh menggunakan UPS (uninterruptible power supply) untuk melindungi komputer anda dari gangguan bekalan elektrik. UPS mengandungi bateri simpanan yang mampu memberikan kuasa ketika bekalan elektrik terputus. Walaupun untuk tempoh yang singkat, ia cukup memadai memberikan anda masa yang secukupnya untuk mematikan komputer dengan cermat.

Sensonic UPSUPS yang ada dipasaran hari ini pada kebiasaannya turut dilengkapi dengan perlindungan pusuan, menjadikan pembelian dua dalam satu yang melindungi peranti anda seperti komputer dari bahaya gangguan elektrik.

Perubahan mendadak pada voltan elektrik mampu mendatangkan kerosakan besar terhadap sistem dan perkakasan anda. Oleh itu, janganlah terlalu yakin bahawa ia tidak akan berlaku pada anda. Beringat sebelum kena.

1 komen

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.