Menjelang pelancaran iPhone 16 yang dijangka pada tahun ini, terdapat lebih banyak ura-ura yang timbul mengenai telefon pintar keluaran Apple yang akan datang ini. Terkini, iPhone berkenaan dikatakan akan mempunyai lebih banyak memori dan storan bagi menampung keperluan ciri-ciri kecerdasan buatan (AI) yang akan ditawarkannya kelak.
Dakwaan tersebut hadir daripada pentiris maklumat @Tech_Reve di X yang memetik laporan daripada “firma keselamatan dari Korea Selatan”. Antara yang dinyatakan di dalam laporan tersebut, dikatakan “sesetengah penganalisis meramalkan kapasiti RAM iPhone 16 akan ditingkatkan untuk AI terbina dalamnya”.
Terdapat juga dakwaan yang mengatakan Apple mungkin menjadikan AI terbina dalamnya menggunakan pemacu NAND menggantikan RAM.
Jika Apple berhasrat menggunakan RAM dan bukannya NAND, mungkin iPhone 16 yang akan datang nanti dilengkapkan dengan RAM 8GB, berbanding iPhone 15 kini yang mempunyai RAM 6GB. Bagaimanapun, jika langkah sebaliknya diambil maka kemungkinan iPhone yang akan datang nanti mempunyai pilihan storan bermula dari 256GB.
Cuma, seperti biasa khabar-khabar angin seperti ini masih lagi belum dapat dibuktikan kesahihannya selagi tiada kata putus dari pihak Apple secara rasminya. iPhone 16 dijangka akan dapat memanfaatkan kelebihan ciri sokongan AI yang ditawarkan dengan sebaiknya jika menyimpan datanya secara dalaman berbanding bergantung pada storan awanan. Buat masa ini laporan menyatakan telefon pintar berkenaan akan menggunakan Google Gemini berbanding model Ajax buatan Apple sendiri.