Intel mengumumkan pelaburan sebanyak lebih dari RM30 bilion bagi menyediakan fasiliti baharunya di Pulau Pinang. Pengeluar semikonduktor ini menyatakan pelaburan tersebut akan digunakan bagi tujuan meluaskan operasinya di sekitar Pulau Pinang dan Kulim.
Pelaburan ini dibuat menerusi subsidiarinya di Malaysia, Intel Electronics dan Malaysian National Investment Aspirations (NIA). Fasiliti baharu ini dijangka bakal mewujudkan lebih dari 4,000 peluang pekerjaan. Disamping itu, pembinaan fasiliti ini juga bakal menghasilkan 5,000 peluang pekerjaan melibatkan pembinaan kepada rakyat Malaysia.
Terdahulu, Intel telah mengumumkan rancangannya untuk membina dan memperluaskan fasiliti pengeluarannya di Pulau Pinang. Fasiliti tersebut akan mengkhususkan pada pengujian pemasangan, persediaan acuan (die-prep), dan sokongan pembungkusan termaju.
Buat masa ini, Malaysia merupakan salah satu hab pengeluaran semikonduktor terbesar Intel, merangkumi 13% pempakejan dan pengujian cip di seluruh dunia.
Intel giat membuat pelaburan di Malaysia dan tidak terhad pada pengeluaran cip mikro semata-mata. Antara pelaburan yang dibuat oleh Intel di Malaysia termasuklah pembinaan ladang solar Intel terbesar di luar Amerika Syarikat. Ladang solar ini ditempatkan di kampus Intel Pulau Pinang dan juga di Kulim Hi-Tech Park di Kedah.