Utama Android Honor Honor X30 dilancarkan; Hadir dengan Snapdragon 695, skrin 6.81-inci

Honor X30 dilancarkan; Hadir dengan Snapdragon 695, skrin 6.81-inci

191
0

Tidak berapa lama dahulu, Honor telah melancarkan beberapa peranti baharunya seperti Honor X30i dan X30 Max di pasaran China. Kini, menerusi perkembangan terkini, Honor telah melancarkan Honor X30 pula.

Model telefon pintar baharu ini bagaimanapun hanya boleh didapati di pasaran China sahaja buat masa ini. Tiada sebarang maklumat mengenai sama ada Honor merancang untuk memasarkannya secara global.

Dari segi harga, Honor X30 boleh dikategorikan sebagai telefon pintar peringkat menengah sebagaimana senarai beriktu:

  • Honor X30, RAM 6GB, storan 128GB – RMB1,499 (~RM991.09)
  • Honor X30, RAM 8GB, storan 128GB – RMB1,699 (~RM1,123.07)
  • Honor X30, RAM 8GB, storan 256GB – RMB1,999 (~RM1,321.38)

Spesifikasi Honor X30

Sekilas pandang, saiz telefon pintar ini kelihatan besar atas faktor saiz skrinnya 6.81-inci. Paparan skrin LCD berkenaan menyokong FHD+ IPS berkeupayaan kadar penyegaran semula 120Hz dan kadar pensampelan sentuhan 240Hz. Bagaimanapun, saiz skrinnya tidak sebesar skrin sebuah lagi peranti Honor, Honor X30 Max yang mempunyai skrin 7.09-inci.

Telefon pintar ini dikuasakan oleh cipset Snapdragon 695, yang baharu sahaja diumumkan oleh Qualcomm pada Oktober lalu. Ia digandingkan dengan konfigurasi memori sehingga 8GB dan storan sehingga 256GB.

Dari segi perisiannya, telefon Honor baharu ini menggunakan antaramuka Magic UI 5 yang berasaskan Android 11. Jika Honor X30 dilancarkan ke pasaran global, tidak mustahil ia akan didatangkan dengan Google Mobile Services (GMS).

Untuk kameranya pula, telefon pintar ini menyediakan tri-kamera dengan sensor 48MP f/1.8 berperanan sebagai kamera utama, serta sensor makro 2MP f/2.4 dan sensor berkedalaman 2MP f/2.4. Manakala pada sebelah hadapannya, turut disediakan sebuah kamera 16MP. Jika anda perhatikan betul-betul, rekaan Honor X30 ini mirip dengan rekaan peranti mercu, Honor Magic 3.

Terdapat bateri berkapasiti 4,800mAh disediakan yang menyokong pengecasan 66W. Menurut Honor, anda boleh mengecaskan peranti ini sehingga ke paras 81% dalam tempoh setengah jam sahaja. Melalui kapasiti bateri ini, ia didakwa mampu menyokong penggunaan untuk tontonan video untuk tempoh sehingga 20 jam.

Lain-lain ciri yang disediakan pada Honor X30 termasuklah pengimbas cap jari pada sebelah sisinya. Pun begitu, terdapat sedikit kekecewaan pada telefon pintar ini kerana tidak menyediakan bicu audio 3.5mm, sokongan Wi-Fi 6 dan Bluetooth 5.2.

Empat warna pilihan ditawarkan untuk Honor X30 iaitu hitam, emas, biru dan perak.

Maklumat lanjut mengenai Honor X30, layari laman rasmi produknya di Honor China.

SUMBERHiHonor China
Artikel sebelum iniMaxis akhirnya memperkenalkan Voice Over Wi-Fi (VoWiFi)
Artikel seterusnyaIntel akan melabur lebih dari RM 30 bilion bagi pembinaan fasiliti baharu di P. Pinang
Penulis berpengalaman di dalam bidang ICT selama 11 tahun dan kerap mengikuti perkembangan ICT semasa baik di dalam mahupun di luar negara. Penulis boleh dihubungi melalui

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.