Infinix baru-baru ini telah memperkenalkan model terkininya Smart 9 yang berkesinambungan daripada Smart 8. Harganya masih lagi sama, namun skrinnya kini lebih besar paparannya dengan pemprosesan yang lebih berkuasa.
Sungguhpun telefon pintar baharu ini masih lagi belum diumumkan untuk pasaran Malaysia, beberapa peniaga telah pun menyenaraikan pra-tempahan untuknya dengan harga RM299. Setakat ini masih belum diketahui bilakah ia akan mula hadir ke pasaran tempatan.
Infinix Smart 9 menampilkan paparan LCD 6.7-inci 720p dengan kadar penyegaran semula 120Hz, kecerahan puncak 500 nits dan ciri Dynamic Bar pada sebelah atas skrinnya. Di dalamnya ia menggunakan pemprosesan MediaTek Helio G81 dengan RAM 3GB, storan dalaman 64GB dan slot kad mikroSD untuk perluasan kapasiti storannya.
Untuk fotografinya, telefon pintar ini menawarkan kamera utama 13MP pada bahagian belakangnya dengan di hadapan pula didatangkan dengan kamera 13MP. Bateri berkapasiti 5,000mAh turut disediakan yang juga menyokong pengecasan 10W. Dari segi kelasakan, Infinix Smart 9 mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP54 selain turut mempunyai ciri tahan jatuhan.