Utama Komputer India gesa Microsoft tawar diskaun Windows 10 berikutan insiden Ransomware

India gesa Microsoft tawar diskaun Windows 10 berikutan insiden Ransomware

656
0

Kerajaan India memberi tekanan terhadap Microsoft agar memberikan diskaun untuk Windows 10 agar ianya lebih mampu untuk dimiliki oleh kebanyakan rakyat India. Seruan ini hadir sejurus dua insiden serangan ransomware yang melanda di serata dunia hingga menyebabkan huru-hara di sesetengah organisasi dan juga individu.

Kebanyakan warga India masih lagi menggunakan sistem operasi Windows yang lama disebabkan kos untuk memperoleh lesen Windows 10 yang sah masih lagi tinggi jika dibandingkan dengan kadar pendapatan purata rakyat kebanyakan di India.

Sistem-sistem operasi Windows yang lama ini lebih terdedah dengan pelbagai jenis ancaman oleh kerana ianya tidak lagi menerima sokongan kemaskini dan keselamatan dari pihak Microsoft.

Sungguhpun idea potongan harga Windows 10 ini kelihatan menarik, perlu diambil kira malware WannaCry turut menjangkiti mana-mana komputer Windows 10 tanpa mengira sama ada ianya memiliki lesen yang sah atau yang cetak rompak. Justeru, sekadar pemilikan lesen Windows 10 yang sah sahaja tidak menjanjikan sebarang perlindungan tambahan dari ancaman ransomware ini.

Permintaan kerajaan India ini mungkin agak berat untuk dipenuhi oleh pihak Microsoft. Jika dipenuhi, tidak mustahil akan diikuti oleh kerajaan-kerajaan negara lain yang turut sama akan memohon mendapatkan potongan harga bagi mendapatkan lesen sistem operasi yang sah.

Sumber berita dan imej diperoleh dari Reuters

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.