Huawei memperkenalkan jam tangan pintar Watch D2 yang berkesinambungan dari Watch D yang dilancarkan pada 2022. Sama seperti model sebelumnya ini, ia dilengkapkan dengan sensor untuk memantau tekanan darah.
Bezanya, untuk model kali ini rekabentuknya kelihatan lebih kemas dengan paparan yang lebih besar.
Huawei Watch D2 menampilkan paparan AMOLED 1.82-inci dengan kecerahan puncak 1,500 nits. Ia mempunyai crown boleh diputarkan dan juga butang home untuk tujuan pengendaliannya.
Untuk perlindungan, ia didatangkan dengan kerintangan debu dan air IP68, serta mempunyai mikrofon dan pembesar suara terbina dalam untuk panggilan menggunakan Bluetooth 5.2. Sokongan ketersambungannya juga merangkumi GPS, dan NFC. Namun, tiada pilihan sambungan menggunakan selular ditawarkan untuk jam tangan pintar ini.
Sistem memantau tekanan darah pada jam tangan pintar ini menggunakan kaff (cuff) dengan pam mini dan beg udara yang akan dikembangkan pada waktu tertentu dalam sesuatu hari. Ia juga mempunyai sensor untuk monitor kadar nadi, ECG dan suhu permukaan kulit.
Turut disediakan lebih daripada 80 mod sukan untuk menjejak aktiviti senaman dan ia juga boleh disesuaikan dengan telefon pintar iOS dan juga Android. Dari segi baterinya, jam tangan ini lebih singkat tempoh hayatnya dengan hanya sehingga enam hari untuk penggunaan biasa. Jika anda menggunakan bersama-sama fungsi memantau tekanan darah, tempohnya menjadi lebih pendek dengan hanya sehari sahaja.
Huawei Watch D2 hadir dengan pilihan warna hitam dan emas pada harga RM1,999 yang boleh dipra-tempah bermula dari 19 hingga 29 November 2024 menerusi kedai talian rasmi Huawei, Shopee dan Lazada. Anda yang membuat pra-tempahannya berpeluang untuk menerima FreeBuds 2 Pro, alat penimbang berat badan pintar, tali jam tambahan dan waranti dua tahun secara percuma.