Huawei nova Y72 yang dilancarkan pada bulan lepas kini secara rasmi diumumkan jualannya di pasaran Malaysia bersama-sama harganya. Pengumuman tersebut bagaimanapun tidak menyatakan tarikh mula jualannya di pasaran tempatan.
Telefon pintar baharu dari Huawei ini didatangkan dengan skrin HD 6.75-inci dengan kadar penyegaran semula 60Hz. Ia juga mempunyai RAM 8GB dan storan 128GB. Pemprosesan yang digunakannya bagaimanapun tidak dinyatakan.
Namun, berdasarkan banyak persamaannya dengan Huawei Enjoy 70, berkemungkinan besar ia mengggunakan pemprosesan Huawei Kirin 710A. Untuk baterinya pula, ia menggunakan bateri berkapasiti 6,000mAh dengan sokongan pengecasan 22.5W.
Kamera Huawei nova Y2 pula terdiri daripada kamera utama 50MP dengan kamera makro 2MP pada bahagian belakangnya. Di depannya pula terdapat sebuah kamera 8MP yang ditempatkan pada bahagian takuk di sebelah atasnya.
Di Malaysia, Huawei nova Y72 akan dijual pada harga RM899 dengan dua pilihan warna iaitu hijau dan hitam. Tiada tarikh mula jualannya di pasaran Malaysia dinyatakan setakat ini, namun berdasarkan poster promosinya, setiap pembelian akan menerima Huawei FreeBuds SE 2 secara percuma selagi stok masih ada.