Utama Tablet Huawei Huawei akan melancarkan MatePad Pro 13.2 2025 di Malaysia pada minggu hadapan

Huawei akan melancarkan MatePad Pro 13.2 2025 di Malaysia pada minggu hadapan

99
0

Huawei telah mengumumkan model terkini tablet mercu keluarannya, Huawei MatePad Pro 13.2. Peranti ini dijadualkan akan dilancarkan secara rasminya di Malaysia pada 18 Februari 2025, bersama-sama telefon pintar boleh-lipat tiga yang dinanti-nantikan, Mate XT.

MatePad Pro 13.2 akan menampilkan paparan Flexible OLED PaperMatte 13.2-inci dengan kejituan warna bergred profesional, kecerahan 1,000 nits, dan nisbah skrin-ke-badan 94%. Paparan tersebut juga mempunyai persijilan SGS Low Visual Fatigue 2.0 Premium Performance, TÜV Rheinland Full Care Display 3.0, dan Reflection Free. Menurut Huawei, tablet ini lebih nipis berbanding model sebelumnya.

Huawei tidak menyatakan pemprosesan apa yang digunakan pada MatePad Pro 13.2. Namun menyatakan ia menawarkan “tempoh turbo 85% lebih panjang untuk prestasi terjamin.” Selain itu, kuasa reka bentuk termanya (TDP) dilaporkan meningkat sebanyak 6.6%, dengan suhu muatannya dikurangkan sebanyak 10°C, seterusnya menyumbang kepada lonjakan prestasi 30% lebih tinggi dari model terdahulu.

Dari segi perisian, tablet ini didatangkan dengan WPS Office Suite, untuk memudahkan pengguna menghasilkan dan menguruskan dokumen, lembaran kerja, dan pembentangan. Walaupun pengumuman di pasaran tempatan tidak menyatakannya, MatePad Pro 13.2 baharu ini dijangka akan menggunakan versi terkini Huawei Harmony OS.

Berdasarkan pelancaran awalnya di China, tablet ini juga dijangka akan menyertakan kamera utama 50MP, kamera ultra lebar 8MP, dan kamera hadapan 16MP. Baterinya pula disenaraikan berkapasiti 10,100mAh dan menyokong pengecasan pantas.

Tidak dapat dipastikan sama ada Huawei MatePad Pro 13.2 2025 ini akan mempunyai spesifikasi yang sama seperti model yang dilancarkan di China. Harga dan ketersediaan tablet baharu keluaran Huawei ini dijangka akan diumumkan pada acara yang berlangsung pada minggu hadapan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.