Samsung Galaxy S25 Ultra masih lagi konsisten dengan ciri estetika modelnya dengan masih lagi mengekalkan S Pen. Model kali ini juga dibezakan dengan model-model Ultra terdahulu dengan mengetengahkan keupayaan AI generatif terbina di dalamnya. Ia merupakan adunan hebat yang mampu memenuhi kehendak peminat Android, Samsung dan Google Gemini.
Telefon pintar ini juga sarat dengan kelebihan ekstra dari model-model lain dari siri ini termasuk penggunaan pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8 Elite for Galaxy. Ia juga mempunyai reka bentuk casis yang lebih ergonomik, kamera ultra lebar yang ditambah baik dan sebagainya.
Isi Kandungan
Harga Galaxy S25 Ultra, Galaxy S25 Plus dan Galaxy S25 di Malaysia
Di Malaysia, siri Galaxy S25 di jual pada harga seperti berikut:
- Galaxy S25 256GB – RM3,999
- Galaxy S25 512GB – RM4,599 (Harga promosi pra-tempahan: RM3,999)
- Galaxy S25+ 256GB – RM4,999
- Galaxy S25+ 512GB – RM5,599 (Harga promosi pra-tempahan: RM4,999)
- Galaxy S25 Ultra 256GB – RM5,999
- Galaxy S25 Ultra 512GB – RM6,599 (Harga promosi pra-tempahan: RM5,999)
- Galaxy S25 Ultra 1TB – RM7,799 (Harga promosi pra-tempahan: RM7,199)
Galaxy S25 Ultra ditawarkan dengan pilihan warna Titanium Silverblue, Titanium Gray, Titanium Whitesilver dan Titanium Black. Manakala untuk Galaxy S25 dan Galaxy S25 Plus pula hadir dengan pilihan warna Navy Blue, Icyblue, Mint dan Silver Shadow.
Samsung Malaysia juga menawarkan warna pilihan eksklusif pembelian secara dalam talian Blueblack, Coralred dan Pinkgold untuk S25 dan S25 Plus. Untuk Galaxy S25 Ultra pula, warna-warna eksklusif dalam taliannya pula terdiri daripada Titanium Jadegreen, Titanium Pinkgold dan Titanium Jetblack.
Spesifikasi Samsung Galaxy S25 Ultra
Ukuran | 162.8 x 77.6 x 8.2mm |
Berat | 218g |
OS | One UI 7 berasaskan Android 15 |
Paparan | 6.9-inci AMOLED, 120Hz |
Pemprosesan | Qualcomm Snapdragon 8 Elite for Galaxy |
RAM | 12GB |
Storan | 256GB / 512GB / 1TB |
Bateri | 5,000mAh |
Kamera Belakang | utama 200MP, ultra-lebar 50MP, telefoto 10MP, telefoto 50MP |
Kamera Depan | 12MP |
Pengecasan | Berwayar 45W, nirwayar 15W |
Kelebihan dan Kekurangan
Kelebihan
- Reka bentuk bersepadu tanpa mengabaikan keunikan Ultra
- Skrin paling besar di dalam siri dengan binkai yang amat nipis
- AI yang paling berkuasa
- Hayat bateri yang lebih cemerlang
Kekurangan
- Perkakasan kamera yang tidak banyak berubah dari model sebelumnya
- Tiada sokongan Bluetooth pada S Pen
Rekabentuk
Samsung Galaxy S25 Ultra dilihat meninggalkan terus ciri-ciri estetika Gaalxy Note. Kali ini ia tampil dengan bentuk yang lebih seragam dengan model-model lain di dalam siri Galaxy S25 ini. Ia masih lagi kelihatan kemas dan cantik, namun ia terlihat seolah-olah sudah kehilangan personalitinya.
Ia mempunyai permukaan rata pada bingkai titanium di sekelilingnya yang sama seperti model-model lain. Bezanya, pada bucu Galaxy S25 Ultra ini ia sedikit kurang membulat berbanding Galaxy S25 dan Galaxy S25 Ultra.
Berbanding dengan model sebelum ini, Galaxy S25 Ultra sedikit meninggi dan lebih nipis dengan ukuran 162.8 x 77.6 x 8.2mm. Ia juga dikirakan lebih ringan pada 218g berbanding Galaxy S24 Ultra yang seberat 232 gram. Beza yang dirasakan ketara apabila anda sendiri memegangnya.
Hal ini antaranya disumbangkan oleh ketiadaan sokongan Bluetooth pada S Pen. Ini kita akan cerita dengan lebih lanjut lagi nanti.
Dari segi kelasakan, Galaxy S25 Ultra mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP68. Tiada IP69 untuk ketahanan air bertekananan tinggi sebagaimana yang terdapat pada Honor Magic 7 Pro dan Oppo Find X8 Pro. Walaupun kemungkinan untuk anda atau telefon pintar anda kerap disembur dengan air bertekanan tinggi amatlah rendah, setidaknya dengan penarafan ini dapat memberikan lebih justifikasi harga jualannya yang tinggi.
Pun begitu, terdapat peningkatan pada perlindungan skrinnya dalam bentuk kaca baharu daripada Corning, Gorilla Armor 2. Ia dikatakan mampu bertahan apabila dijatuhkan di atas lantai konkrit pada ketinggian aras kepala manusia biasa. Saya masih belum berkesempatan menguji ketahanan tersebut. Apa yang saya dapat pastikan setakat ini skrin telefon pintar ini masih lagi bebas dari kesan calar selepas hampir sebulan saya menggunakannya.
S Pen tanpa Bluetooth
Satu lagi ciri wajib ada pada siri Galaxy S Ultra, S Pen perlu saya ceritakan lagi dengan lebih lanjut. Ia masih lagi ditawarkan untuk tahun ini. Akan tetapi ia mengalami penurunan taraf dengan tidak menawarkan sambungan Bluetooth.
Ini bermakna anda tidak lagi boleh menggunakan pena stylus ini sebagai alat kawalan jauh ketika ingin mengambil gambar. Ia juga kini tidak lagi boleh digunakan untuk ciri gestur udara untuk mengaktifkan fungsi-fungsi dari jarak jauh. Bagi pengguna kebanyakan, ketiadaan ciri-ciri ini mungkin tidak memberikan kesan kerana peratusan pengguna yang memanfaatkannya adalah kecil.
Apa yang penting, pengalaman penulisan yang penting ditawarkan dari S Pen ini sama seperti yang disediakan pada S24 Ultra. Kadar kelewahan (latency rate) yang amat rendah keitka menulis menjadikannya fungsinya amat ideal untuk nota dan contengan pantas.
Skrin
Walaupun terdapat perubahan yang ketara pada casis, ciri-ciri pada paparannya masih lagi kekal mengkagumkan secara keseluruhannya sebagaimana skrin S24 Ultra sebelum ini. Ia didatangkan dengan skrin mercu Dynamic AMOLED 2X LTPO dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Ia juga menyokong HDR10+ dan kecerahan puncak 2600 nits.
Lapisan anti-pantulan yang hebat sebelum ini juga masih lagi dikekalkan pada skrin model kali ini. Ia membantu anda melihat paparan dengan lebih mudah tanpa gangguan pantulan dari sumber-sumber cahaya baik di dalam mahupun di luar.
Bingkai paparannya juga lebih nipis yang membolehkan skrin Galaxy S25 Ultra ini ditingkatkan kepada 6.9-inci walaupun badannya kecil sedikit berbanding model terdahulu.
Walaupun perubahannya nampak tidak begitu ketara, pengalaman hampir nirbingkai model ini menawarkan gaya dan rasa ultra premium yang tiada tolok bandingnya setakat ini. Pengendalian melalui paparannya ini juga memberikan rasa nikmat apabila menatal media sosial, bermain permainan mudah alih mahupun menonton video YouTube. Ia dirasakan lebih besar berbanding modelnya yang terdahulu.
Kamera
Galaxy S25 Ultra mampu mengambil foto-foto yang mengkagumkan walaupun dengan perkakasan yang hampir sama dengan model sebelumnya. S25 Ultra mengekalkan kamera utama 200MP, kamera zum 3x 10MP, dan kamera zum 5x 50MP. Manakala kamera ultra lebar 12MP pula telah dinaik taraf kepadaa 50MP.
Berdasarkan pemerhatian saya, terdapat penambahbaikan dari segi pemprosesan imej terutamanya pada lensa telefoto 5x 50MP. Untuk zum 30x, anda akan melihat lebih banyak perincian, dan kontras yang telah dipertingkatkan.
Gambar-gambar yang dizumkan untuk jarak yang lebih jauh juga kelihatan lebih jitu berbanding sebelum ini yang kelihatan ‘agak artistik’ seperti lukisan cat minyak. Untuk jarak zum sekitar 5-10x juga amat baik kualitinya di dalam keadaan kurang pencahayaan.
Sama seperti S24 Ultra pada tahun lepas, zum 3x sehingga 4.9x menggunakan kamera telefoto 3x beresolusi rendah 10MP. Kualiti imejnya memang tidak sebaik kamera lain, namun jarak fokalnya amat baik untuk fotografi potret berbanding menggunakan 5x.
Fotografi ultra-lebar yang lebih berkesan
Penambahbaikan kamera ultra-lebar ke 50MP juga merupakan sesuatu yang amat dialu-alukan. Sungguhpun ia merupakan satu-satunya penambahbaikan perkakasan fotografi, perbezaan yang dihasilkannya tidaklah begitu ketara. Kelebihannya terserlah di dalam keadaan kurang pencahayaan hasil penggunaan binning kuad-piksel baharu.
Imej yang dihasilkannya jugak lebih mempesonakan dengan herotan pada hujungnya tidak begitu kelihatan sebagaimana yang biasa diketemukan pada kamera-kamera ultra lebar.
Tentunya, kamera utama 200MP paling menyerlah melalui piksel-piksel yang sarat digabungkan bersama-sama teknologi binning piksel lanjutan 16 dalam 1.
Lensa utama ini menangkap sejumlah cahaya dan perincian dengan pemprosesan HDR yang ditawarkannya berupaya menyeimbangkan dengan baik antara cahaya sorotan (highlight) dan bayangan (shadows).
Warnanya tidaklah sejitu warna semulajadi memandangkan telefon pintar Samsung secara tipikal menghasilkan palet warna yang amat menyarau (vibrant) terutamanya warna hijau rumput dan biru langit. Pada saya ia amat cantik apabila dikongsikan pada media sosial, namun untuk pengguna yang mementingkan estetika warna semulajadi anda mungkin perlukan alternatif lain.
Fotografi pada waktu malam atau keadaan kurang pencahayaan secara amnya akan ditetapkan pada mod foto standard. Sistem fotografinya akan mengubah ke Night Mode jika keadaan menjadi terlalu gelap.
Imej yang dihasilkan untuk fotografi malam didapati tidak berlebihan pemprosesannya dengan cahaya sorot (highlights) dikekalkan sebaiknya walaupun bayang-bayang (shadows) tidak begitu ketara. Pengolahan warnanya pula bagaimanapun kelihatan amat baik.
Keupayaan rakaman video menggunakan kamera S25 Ultra juga dipertingkatkan pada tahun ini. Walaupun masih lagi mempunyai sokongan rakaman sehingga 8K pada 30fps sebagaimana S24 Ultra, ia kini menyokong Galaxy Log untuk mengendalikan fail berformat LOG.
Ia lebih kurang sama dengan foto berformat RAW. Anda boleh merakamkan video dalam proses yang amat minimal untuk anda melaraskan semula warna dan julat dinamiknya ketika proses pasca produksi. Bagi pengguna kebanyakan ciri ini amat jarang akan digunakan, namun bagi peminat seni suntingan dan rakaman video ia pasti amat dihargai.
Prestasi
Sama seperti model lain di dalam siri ini, Galaxy S25 Ultra dikuasakan oleh pemprosesan Qualcomm paling berkuasa pada tahun ini, Snapdragon 8 Elite for Galaxy. Ia menawarkan kuasa yang hampir setara dengan sesetengah telefon pintar khusus permua mercu keluaran terkini.
Ia seterusnya membolehkannya memainkan permainan mudah alih pada tetapan grafik tinggi tanpa sebarang masalah. Apa yang saya dapati, ia akan menjadi semakin panas apabila memainkan dalam tempoh yang agak lama, terutamnya pada judul berkeperluan grafik tinggi seperti Genshin Impact.
Kehadiran kebuk pengewapan yang lebih besar juga membantu meningkatkan kadar pelepasan haba yang dijana oleh Snapdragon 8 Elite for Galaxy di dalam telefon pintar ini. Justeru, kuasa pemprosesannya ini lebih dari mencukupi bagi menampung keperluan penggunaan harian.
Galaxy S25 Ultra dirasakan sepantas dan seresponsif sebagaimana jangkaan. Aplikasi dibuka sesegera mungkin, tiada sangkutan (lag) ketika mengambil foto dan waktu memuatkan permainan juga agak pantas.
Lain-lain, telefon pintar ini didatangkan dengan pilihan storan 256GB, 512GB dan 1TB bersama-sama ketersambungan yang wajib ada. Sokongan 5G, Wi-Fi 7 dan Bluetooth 5.4 disediakan sebagaimana yang dijangka pada sesebuah telefon pintar mercu terkini.
Perisian dan Kecerdasan Buatan (AI)
Sejak awal pengumuman siri Galaxy S25, perhatian lebih tertumpu kepada keupayaan sokongan kecerdasan buatan yang ditawarkannya.
Menurut Samsung, keupayaan AI yang dimuatkan terus ke dalam One UI 7 pada siri Galaxy S25 ini membolehkan ia menjadikan pendamping yang lebih bermanfaat. Ia berupaya menggabungkan tindakan sejumlah aplikasi berdasarkan hanya satu permintaan.
Ia sepatutnya membenarkan AI terbina dalam melakukan perkara seperti mendapatkan jadual perlawanan pasukan bola sepak kegemaran anda dan memasukkannya ke dalam aplikasi Calendar.
Ciri ini juga digabungkan bersama-sama dengan fungsi baharu yang dinamakan sebagai Now Brief. Ia bertujuan memberikan sejumlah maklumat kontekstual mengikut waktu sama ada pagi, petang atau malam dari beberapa aplikasi. Ia akan memberikan maklumat ringkas berkaitan aktiviti anda seperti foto-foto yang telah anda ambil, jadual perancangan aktiviti anda dan juga ramalan cuaca.
Now Brief buat masa ini saya lihat agak terhad penawarannya kerana masih lagi sedang memahami pola penggunaan telefon pintar saya. Dijangkakan konteks yang dipaparkannya kelak boleh dimanfaatkan dengan lebih baik sebaik sahaja ia ‘mengenali’ diri saya yang sebenar.
Anda juga boleh mendapatkan lebih banyak maklumat seperti pola tidur dan tahap tenaga semasa anda jika menyambungkannya dengan peranti Samsung lain seperti Galaxy Watch.
Google Gemini seperti biasa merupakan ‘jantung’ kepada keupayaan AI di dalam siri ini. Anda boleh meminta banyak perkara daripada Gemini termasuk berbual panjang. Ia mampu memberikan anda idea untuk memasak berdasarkan foto barang-barang yang ada di dalam peti sejuk anda. Selain itu, Gemini juga boleh menghasilkan imej untuk anda.
Barangkali penambahan baharu yang paling ketara adalah pada input bahasa semulajadi seluruh sistem yang melibatkan ciri-ciri seperti AI Agents, AI Select, Circle to Search, kawalan pada Gallery dan juga Cross-app Actions. Untuk Google Circle to Search, anda kini boleh membuat carian lagu berdasarkan tangkapan layar video pada skrin.
Suntingan foto secara AI generatif lebih kemas pada Galaxy S25 Ultra. Anda boleh memadamkan objek mahupun individu di dalam imej dengan baik tanpa meninggalkan kesan yang aneh.
Rekaan antaramuka baharu One UI 7 adalah yang paling mengujakan pada pandangan saya. Ia membawakan ikon-ikon baharu, animasi baharu dan banyak lagi untuk menjadikan telefon pintar ini kelihatan lebih segar. Notifikasi dan menu berbilang tugasannya juga menerima rekaan semula baharu.
Bateri
Dari segi penggunaan harian, Galaxy S25 Ultra mampu bertahan bagi untuk sehari suntuk hasil dari pengoptimasian yang telah dipertingkatkan.
Namun, untuk perbandingan dengan pesaing-pesaing dari pengeluar lain yang telah mula mengadopsi teknologi bateri silikon-karbon yang lebih besar kapasitinya, model tahun ini dilihat agak terkebelakang. Kapasitinya masih lagi kekal sama 5,000mAh sebagaimana yang disediakan pada Galaxy S24 Ultra sebelum ini.
Dalam beberapa minggu ini, saya mendapati kapasiti bateri Galaxy S25 Ultra berbaki sekitar 20-25% pada setiap hari penggunaan untuk sekali cas. Ia berdasarkan penggunaan melibatkan media sosial, WhatsApp, emel, menonton YouTube, menangkap beberapa keping gambar dan sesekali bermain permainan video.
Pengecasannya pula sama seperti Galaxy S24 Ultra yang menyokong sehingga 45W. Menurut Samsung, proses pengecasan Galaxy S25 Ultra juga telah dioptimasikan dengan kapasitinya mampu dipenuhkan sehingga 70% dalam tempoh 30 minit, dan 62 jika sehingga penuh. Pun begitu, tiada pengecas 45W mahupun 25W disediakan di dalam kotak pembungkusan telefon pintar ini.
Galaxy S25 Ultra juga merupakan telefon pintar pertama di dunia yang menyokong piawaian pengecasan nirwayar Qi 2.1. Namun, anehnya had pengecasannya terhad pada 15W sahaja sama seperti model terdahulu. Anda juga memerlukan casing magnetik khas yang dijual berasingan untuk menikmati teknologi pengecasan nirwayar ini.
Kesimpulan
Samsung Galaxy S25 Ultra tidak syak lagi merupakan antara telefon pintar mercu terbaik di pasaran pada ketika ini sungguhpun terdapat sedikit kekurangan. Saya secara peribadi mengagumi rekabentuk baharu model ini yang diselaraskan dengan sirinya.
Cuma, gaya unik model Galaxy Ultra dilihat kehilangan ‘taring’nya apabila dibandingkan dengan rekabentuk telefon pintar pengeluar lain yang semakin seragam rekabentuk antara satu sama lain.
Skrin masih lagi menjadi ciri yang paling mempesonakan di dalam siri Ultra baharu ini dengan panel 6.9-inci mampu disediakan hasil daripada bingkainya yang amat nipis.
Perkakasan kameranya masih sama seperti S24 Ultra, namun dengan pemprosesan imej yang dipertingkatkan serta kamera ultra-lebar baharu, penambahbaikan pada fotografinya tetap diberikan melalui model baharu ini.
Tidak dinafikan fotografi S25 Ultra merupakan salah satu yang paling versatil pada 2025 ini dengan jarak zum dari 0.6x hinggalah ke 100x. Imej yang dihasilkannya juga baik untuk tahap zum sehingga 30x, setanding dengan telefon pintar mercu keluaran terkini di pasaran.
Ciri-ciri AI yang disediakan bersama-sama antaramuka One UI 7 yang paling menarik pada pandangan mata berbanding versi One UI lain juga menyerlahkan pesona perisian telefon pintar mercu baharu keluaran Samsung ini.
Penambahbaikan pada telefon pintar ini dirasakan tidak begitu ketara jika anda menaik taraf dari S24 Ultra atau S23 Ultra memandangkan perkakasannya masih lagi lebih kurang sama. Ia amat berbaloi jika anda menaik taraf dari model yang lebih lama seperti S21 Ultra, atau anda menggunakan model dari pengeluar lain sebelum ini.