Utama Aksesori Jam Tangan Pintar Siri Huawei Watch GT 5 secara rasminya dilancarkan di Malaysia, Harga bermula...

Siri Huawei Watch GT 5 secara rasminya dilancarkan di Malaysia, Harga bermula dari RM1,099

73
0

Bersama-sama pelancaran tablet MatePad Pro 12.2 pada petang tadi, Huawei turut memperkenalkan barisan jam tangan pintar baharu, Watch GT 5. Diumumkan pada minggu lepas, jam tangan ini hadir dengan model Huawei Watch GT 5 yang ditawarkan pilihan saiz 41mm dan 46mm, serta Huawei Watch GT 5 Pro yang mempunyai saiz 42mm dan 46mm.

Kedua-dua model jam tangan pintar tersebut menggunakan skrin yang sama dengan paparan AMOLED 1.32-inci untuk Watch GT 5 dan AMOLED 1.43-inci untuk Watch GT 5 Pro. Kesemua model ini mempunyai paparan beresolusi 466 x 466 piksel.

Dari segi bahan binaannya pula, model standard diperbuat daripada keluli tahan karat. Manakala untuk model Pro pula ia menggunakan bahan seramik dan aloi titanium.

Untuk kelasakannya pula, jam tangan pintar ini boleh dikendalikan dalam persekitaran bersuhu antara –20°C hingga 45°C bersama-sam kerintangan air 5ATM dan penarafan IP69K.

Model Pro ini juga boleh digunakan untuk menyelam secara bebas sehingga kedalaman 40mm. Bateri untuk varian 46mm mampu digunakan sehingga 14 hari, manakala untuk varian yang lebih kecil saiznya pula boleh digunakan sehingga seminggu.

Kedua-dua jam tangan pintar ini juga dilengkapkan dengan sistem TruSense yang mempunyai sensor untuk memantau kadar nadi, tahap ketumpatan darah dalam oksigen, kualiti tidur, dan kitaran haid.

Untuk penjejakan ECG pula ia hanya eksklusif untuk Pro dengan butang khas pada sisinya. Sebanyak 100 jenis senaman boleh direkodkan untuk ciri kecergasannya termasuk mod Golf Course yang meliputi 15,000 padang golf di seluruh dunia.

Ketersambungan bagi kedua-dua model ini dilengkapkan dengan sokongan GPS serta Bluetooth 5.2 dan NFC. Turut disediakan keupayaan membuat panggilan telefon Bluetooth menggunakan mikrofon dan pembesar suara terbina dalam.

Harga Huawei Watch GT 5 dan Watch GT 5 Pro di Malaysia

Huawei Watch GT 5 berharga bermula dari RM1,099 untuk saiz 41mm dan RM1,199 untuk saiz 46mm. Manakala Huawei Watch GT 5 Pro pula harganya dari RM1,999 untuk varian 42mm dan RM1,399 untuk varian 46mm.

Anda boleh membuat pra-tempahan menerusi kedai dalam talian rasmi Huawei Malaysia, Shopee dan Lazada bermula dari hari ini sehingga 4 Oktober 2024 dan akan ditawarkan dengan sepasang earbuds percuma.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.