Maxis telah mengumumkan naik taraf pelan Hotlink Travel SIM yang mula diperkenalkan pada bulan Jun lalu. Peningkatan ini melibatkan had kelajuan internet, di mana had maksimum 12Mbps sebelum ini telah dihapuskan.

Pengguna kini boleh menikmati kelajuan tanpa had bagi kedua-dua pilihan pelan berharga RM35 dan RM60. Pelan ini menyokong penggunaan merentas empat negara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, dan Indonesia.​

Naik taraf ini juga memberikan nilai tambah kepada pelancong yang memerlukan sambungan internet pantas dan stabil. Bagi pelan berharga RM35, pengguna kini menikmati tempoh sah selama 15 hari dengan kuota Polisi Penggunaan Saksama (FUP) sebanyak 100GB, panggilan tanpa had di dalam Malaysia, serta kelajuan internet tanpa had yang baru diperkenalkan.​

Manakala bagi pelan berharga RM60, ciri-cirinya hampir sama namun menawarkan tempoh sah yang lebih panjang iaitu selama 30 hari. Selain itu, kuota data bagi pelan ini juga telah ditingkatkan daripada 100GB kepada 200GB FUP, menjadikannya pilihan yang lebih sesuai untuk perjalanan jangka panjang.​

Satu lagi pembaharuan penting adalah pengenalan pilihan eSIM khusus untuk pelan Travel SIM RM35 yang boleh dibeli terus melalui aplikasi Hotlink. Proses pendaftaran memerlukan butiran MyKad atau pasport untuk tujuan pengesahan, dan pengguna diberi pilihan untuk mendapatkan nombor baharu atau mengekalkan nombor sedia ada. Pengguna perlu memastikan telefon pintar mereka mempunyai keserasian eSIM sebelum memuat turun dan memasang profil eSIM tersebut.​

Ketersediaan dan Had Pembelian

Walau bagaimanapun, pilihan eSIM ini eksklusif untuk pelan RM35 sahaja. Menurut wakil Maxis, tiada perancangan untuk memperkenalkan ciri eSIM bagi versi 30 hari (RM60) buat masa ini. Pengguna disarankan untuk menyemak keserasian peranti sebelum memilih opsyen eSIM bagi memastikan kelancaran penggunaan.

Bagi pengguna yang berminat mendapatkan kad SIM fizikal untuk pelan RM60 atau RM35, ia boleh didapati di Pusat Maxis di KLIA Terminal 1 dan 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, serta hab pelancongan terpilih.

Tinggalkan komentar