Susulan peningkatan kes penipuan telefon yang membimbangkan di Malaysia, HONOR hari ini mengumumkan pengenalan ciri keselamatan terbaharu, Pengesanan Pengklonan Suara (AI Voice Cloning Detection) pada telefon pintar mercu HONOR Magic8 Pro.
Teknologi ini direka khusus untuk menangani modus operandi jenayah siber terkini dikenali sebagai “panggilan senyap”. Penjenayah berkenaan menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meniru suara mangsa atau kenalan bagi tujuan penipuan kewangan.
Ciri perlindungan canggih ini dijadualkan tersedia kepada pengguna melalui kemas kini perisian bermula penghujung Disember 2025.
Peningkatan drastik dalam kes penipuan berasaskan AI telah mendesak keperluan terhadap penyelesaian keselamatan yang lebih proaktif pada peranti mudah alih.
Taktik “panggilan senyap” yang kini menjadi ancaman baharu melibatkan penjenayah yang mendiamkan diri seketika sewaktu panggilan untuk merakam dan kemudian menjana semula suara mangsa menggunakan teknologi AI.
Ciri keselamatan tambahan kepada Pengesanan Deepfake AI
Menurut kenyataan rasmi HONOR, “Pengesanan Pengklonan Suara AI merupakan ciri keselamatan tambahan pada HONOR Magic8 Pro, melengkapi ciri Pengesanan Deepfake AI yang sedia ada. Ciri ini berfungsi menganalisis panggilan untuk mengesan suara yang telah diklon atau digabungkan. Jika sebarang kejanggalan dikesan, pengguna akan menerima makluman yang memaparkan amaran risiko tersebut.”
Selain pengesanan suara, kemas kini ini turut membawakan dua lagi fungsi keselamatan utama:
- Pengesanan Nombor Penipuan AI (AI Scam Number Detection): Menyemak panggilan masuk berdasarkan pangkalan data nombor penipuan yang dikenali dan memberi amaran jika nombor tersebut ditandakan mencurigakan.
- Pengesanan Deepfake AI Dipertingkat: Mampu mengimbas sehingga lapan wajah secara serentak dalam satu panggilan video untuk mengesan manipulasi wajah secara digital, satu peningkatan signifikan berbanding teknologi sebelumnya.
Statistik jenayah siber semasa menyokong keperluan mendesak terhadap teknologi ini. Laporan media tempatan merekodkan pelbagai kes berprofil tinggi. Antaranya kes seorang wanita yang kerugian RM5,000 akibat klon suara majikannya. Manakala satu kes lagi melibatkan seorang ejen pelancongan yang kehilangan RM49,800 selepas diperdaya oleh individu yang menggunakan suara mirip rakannya.
Menurut laporan Malay Mail yang dipetik dalam kenyataan tersebut, pihak polis telah menyiasat 454 kes penipuan deepfake dengan kerugian mencecah RM2.72 juta pada tahun lalu.
HONOR Magic8 Pro kini dijual pada harga bermula dari RM4,599 untuk konfigurasi 12GB + 512GB, dan RM5,199 untuk pilihan 16GB + 1TB. Anda yang berminat boleh mendapatkannya di laman web rasmi HONOR, kedai dalam talian rasminya di Shopee dan Lazada, serta wakil pengedar yang sah di seluruh negara.













