HONOR kembali lagi dengan telefon pintar mercu baharunya, HONOR Magic 6 Pro yang menampilkan trio kamera yang mantap, rekaan yang anggun dan prestasi Snapdragon 8 Gen 3 yang padu.
Telefon pintar yang bersinambungan dari Magic 5 Pro ini telah dilancarkan pada 20 Mac 2024, jam 3 petang tadi di Malaysia dengan harga jualannya diumumkan RM4,499.
Sesuai dengan namanya, ‘magis’ untuk model baharu dari HONOR ini amat ketara pada keupayaan kamera-kameranya yang buat masa ini sedang merajai kedudukan kamera melalui ujian DXOMARK. Tapi ‘magis’nya itu bukan sekadar kamera-kameranya sahaja, malah lebih dari itu.
Rekaan
Secara peribadi, saya bukanlah begitu menggemari rekaan paparan melengkung, namun ketelitian seni reka bentuk Magic 6 Pro menarik perhatian. Reka bentuknya mempunyai lenggok yang sama seperti Magic 5 Pro, namun tetap hadir dengan ciri-ciri keunikannya yang tersendiri.
Bingkai untuk bahagian kamera-kamera di belakangnya yang berbentuk segiempat membulat (squircle) kini mempunyai kemasan berkilat, mempunyai seri yang tersendiri bersama-sama kemasan permukaan belakangnya yang lembut seakan-akan fabrik. Bahagian tepi permukaan belakangnya membulat bersambungan dengan bingkai aluminiumnya dan terus ke permukaan paparan hadapan skrin OLED melengkungnya.
Paparan hadapan berkenaan juga menempatkan potongan berbentuk pil di bahagian tengah atasnya mirip Dynamic Island pada iPhone. Pada telefon pintar ini ciri tersebut dinamakan sebagai Magic Capsule.
Berukuran 162.5 mm x 75.8mm x 8.9 mm, HONOR Magic 6 Pro dirasakan selesa apabila dipegang hasil dari reka bentuk permukaan melengkung hadapan dan belakangnya. Telefon pintar ini yang menerima penarafan kerintangan air dan debu IP68 ini juga mempunyai persijilan lima bintang untuk Keupayaan Ketahanan Kejatuhan Kaca SGS.
Paparan
HONOR Magic 6 Pro menawarkan paparan OLED yang memukau 6.8-inci dengan bingkai nipis dan melengkung. Ia juga mempunya resolusi 1280 x 2800 berketumpatan 453ppi, dan kadar penyegaran semula sehingga 120Hz.
Walaupun mempunyai tahap kecerahan puncak HDR sehingga 5,000 nits, skrinnya ini masih selamat digunakan di tempat gelap melalui teknologi pemalapan dinamik 4,320Hz PWM dan persijilan mesra sirkadia dari TÜV Rheinland.
Menurut HONOR Magic 6 Pro mempunyai tahap kecerahan standard 1,600 nits bagi membolehkan paparannya dapat dilihat dengan jelas apabila berada di tempat yang amat terang seperti ketika di luar rumah pada waktu tengah hari.
Prestasi
Menggunakan pemprosesan Qualcomm terbaik tahun ini, Snapdragon 8 Gen 3, HONOR Magic 6 Pro seperti dijangkakan mampu mengendalikan pelbagai tugasan berat termasuk memain permainan bergrafik tinggi atau melaksanakan berbilang tugasan melaluinya. Kelebihan menjalankan berbilang tugasan tersebut juga disumbangkan oleh kapasiti RAM yang disediakan sebesar 12GB.
Di dalam ujian penanda aras, Magic 6 Pro mencatatkan markah sebanyak 1,365 untuk pemprosesan teras tunggal dan 5,382 untuk pemprosesan berbilang teras melalui Geekbench v6.0. Untuk penanda aras grafik pula, ujian menggunakan 3DMark Wild Life mencatatkan markah sebanyak 5,234 dengan kadar bingkai persaat 31.34 fps.
Atas sebab itu, telefon pintar mercu baharu keluaran HONOR ini mampu memainkan permainan-permainan berkeperluan grafik tinggi dengan cemerlang. Pengendalian di atas paparannya juga amat lancar yang turut dibantu oleh kadar penyegaran semula paparannya sehingga 120Hz.
Kamera
Bintang utama bagi telefon pintar ini tentunya pada kamera-kameranya yang mengandungi kamera utama 50MP dengan apertur boleh laras f/1.4-f/2.0, kamera telefoti periskop 180MP dengan zum optikal 2.5x dan kamera ultra lebar 50MP dengan sokongan makro. Manakala di hadapannya pula disediakan sebuah kamera 50MP yang ditempatkan pada bahagian berpenebuk lubang pada paparannya.
Kamera-kamera Magic 6 Pro berkenaan juga menggunakan sistem yang dinamakan sebagai sistem kamera Falcon. Di kedudukan paling atas di kalangan kamera-kamera berkenaan ditempatkan sebuah lensa telefoto 2.5x dengan apertur f/2.6 yang membolehkan lebih banyak cahaya memasukinya dan seterusnya dapat menghasilkan foto yang lebih jelas dan terang.
HONOR Tele-Falcon
Lensa telefoto berkenaan juga menggunakan sensor 180MP yang membolehkan zum secara digital nampak lebih elok selain lebih jelas. Magic 6 Pro juga mempunyai keupayaan zum optikal 2.5x dan juga boleh melakukan zum secara digital sehingga ke tahap 100x. Namun, imej yang dihasilkan untuk zum melebihi 30x tidak memberikan hasil dengan kualiti yang memuaskan.
Selain kamera telefoto berkenaan, turut disediakan sebuah kamera bersudut luas 50MP dan bersudut ultra lebar 50MP. Serta tidak ketinggalan, kamera hadapan 50MP sebagaimana yang telah dinyatakan di atas.
Secara peribadi, saya menggemari imej-imej yang dihasilkan oleh Magic 6 Pro ini seperti contoh imej berikut yang menunjukkan pantulan bayang-bayang yang muncul di atas permukaan air. Warna langit yang biru juga didapati dinaikkan serinya bagi memberikan lebih impak dari foto yang ditangkap.
Saya juga berkesempatan mengambil foto Masjid Putra di Putrajaya dari Jambatan Seri Perdana menggunakan keupayaan zum yang disediakan oleh Magic 6 Pro seperti contoh berikut. Imej pertama menggunakan kamera utama 1x, kamera zum 2.5x dan zum 5x.
Mod potret pula merupakan salah satu ciri yang saya gemari pada Magic 6 Pro kerana dapat memudahkan saya mengambil gambar potret yang cantik melaluinya. Kesan bokeh pada latar belakangnya yang dihasilkannya juga kelihatan semulajadi selain subjek pada latar hadapannya kelihatan jelas.
Imej-imej yang dihasilkan oleh kamera-kamera telefon pintar ini juga dalam kebanyakan masa menghasilkan dengan warna yang tepat, jitu serta menarik. Lensa yang digunakan untuk mod Potrait yang mempunyai 180 piksel juga merupakan satu kelebihan yang besar terutama apabila melakukan zum secara digital.
Pun begitu, fotografi telefon pintar ini tidaklah sempurna dalam setiap masa. Ada masanya sesekali ia mengalami kesukaran mengesan bucu dan ia dapat diatasi dengan mengalihkan sedikit kedudukannya.
Bateri
Tahun ini, Magic 6 Pro merupakan antara telefon pintar terawal yang menggunakan teknologi bateri silikon karbon 2.0 untuk membekalkan kuasanya. Bateri yang berkapasiti 5,600mAh ini didapati mampu bertahan untuk lebih dari sehari bagi penggunaan rutin harian biasa seperti panggilan telefon, menatal media sosial, membuka email, menonton video penstriman, mendengar lagu dan sebagainya.
Penggunaan teknologi bateri silikon-karbon pada telefon pintar kian berkembang kerana kelebihan uniknya berbanding bateri lithium-ion. Antaranya kesan pencemaran alam sekitar yang lebih rendah dan juga pengurangan risiko pemanasan pada peranti. Sebelum ini teknologi bateri berkenaan digunakan di dalam industri kenderaan elektrik.
Telefon pintar ini juga menggunakan cip peningkatan kuasa HONOR E1 untuk memberikan prestasi yang mantap di dalam keadaan bersuhu rendah dan seterusnya meningkatkan ketahan dalam ekstrem.
Kesimpulan
Pada pandangan saya, HONOR telah berjaya menghasilkan salah sebuah telefon pintar Android mercu yang paling berdaya saing untuk tahun ini. Ia mempunyai kamera yang cemerlang, paparan yang cantik dan bateri yang tahan lama bersama-sama pengecasan pantas.