HONOR telah mula mengacah pelancaran telefon pintar boleh lipat baharunya, HONOR Magic V6, untuk pasaran Malaysia.
Pengumuman ini turut disusuli dengan demonstrasi ujian tekanan ekstrem yang mempamerkan tahap ketahanan tinggi pada bahagian engsel peranti tersebut.
Kelasakan Engsel dan Paparan Luaran
Berdasarkan pendedahan awal ini, HONOR menekankan aspek ketahanan engsel yang telah dinaik taraf sebagai salah satu tarikan utama.
Magic V6 kini dilengkapkan dengan engsel keluli baharu yang telah diuji dan terbukti mampu bertahan sehingga 500,000 kitaran lipat dan buka.
HONOR turut mempertontonkan demonstrasi ekstrem menggunakan peranti itu dalam aksi membabitkan penarikan kereta Ferrari dan pesawat. Sekali gus mengangkat imej Magic V6 sebagai telefon boleh lipat yang menekankan aspek kejuruteraan dan kelasakan.
Selain engsel, ketahanan skrin luaran peranti ini turut diuji secara fizikal dan ekstrem. HONOR menunjukkan demonstrasi di mana permukaan kaca pada skrin luar Magic V6 mampu menahan lelasan menggunakan sabut keluli (steel-wool) yang dipusingkan oleh gerudi elektrik.
Telefon Boleh Lipat Pertama dengan IP68 dan IP69
Selain ketahanan fizikal, HONOR turut mengesahkan keupayaan peranti ini dalam menahan elemen luaran. HONOR menegaskan bahawa Magic V6 merupakan telefon pintar boleh lipat pertama yang menerima penarafan rintangan habuk dan air IP68 serta IP69 secara serentak.
Penarafan ini bermaksud peranti tersebut bukan sahaja dilindungi daripada rendaman air (IP68). Malah tahan terhadap semburan air yang bertekanan dan bersuhu tinggi (IP69).
Pelancaran Rasmi di Malaysia
HONOR turut berkongsikan acara pelancaran rasmi Magic V6 untuk pasaran tempatan akan berlangsung pada 4 Jun 2026, bermula jam 8.00 malam.
Orang ramai, peminat teknologi, serta pengamal media boleh mengikuti acara ini melalui siaran langsung di laman Facebook rasmi HONOR.
Melalui siaran langsung tersebut, butiran penting peranti termasuk harga jualan rasmi dan ketersediaannya di pasaran turut diumumkan
Selain itu, ia juga akan mengesahkan senarai spesifikasi penuh serta konfigurasi memori dan storan yang bakal ditawarkan kepada pengguna di Malaysia.















