Rentetan dari pelancaran Magic 6 Pro di peringkat global pada awal tahun ini, siri HONOR 200 disasarkan akan dilancarkan seterusnya. Minggu ini, spesifikasi telefon pintar berkenaan telah tertiris bersama-sama dengan iklan acah rasminya serta tarikh pelancaran.
Di Weibo, HONOR telah mengumumkan acara pelancaran HONOR 200 akan diadakan di China pada 27 Mei ini. Dijangkakan terdapat dua model telefon pintar yang akan dilancarkan iaitu HONOR 200 dan HONOR 200 Pro.
Kedua-duanya mempunyai reka bentuk yang hampir sama, cuma dibezakan dengan kamera yang lebih menonjol pada model Pro dan potongan kamera hadapan yang lebih besar. Berkemungkinan ia untuk kegunaan biometrik yang lebih baik. HONOR juga telah membuka pra-tempahan untuk siri baharunya ini di laman web rasminya di China, namun harga dan spesifikasinya masih belum dinyatakan.
Menurut GSMArena, pentiris maklumat Digital Chat Station telah berkongsikan beberapa perincian penting mengenai siri ini. Kedua-duanya dilihat akan menyertakan kamera utama 50MP dengan telefoto 50x (dengan sokongan zoom digital). Model Pro pula ditunjukkan secara khusus di dalam hantaran tersebut, dan kapasiti baterinya dikatakan akan menawarkan pada 5,200 mAh.
Tarikh pelancaran tersebut bagaimanapun hanya untuk pasaran di China. Tiada maklumat rasmi mengenai pelancarannya ke peringkat global. Sebagai perbandingan, HONOR 100 yang dilancarkan pada tahun lepas hanya diperkenalkan di pasaran China sahaja dan tidak diperkenalkan ke pasaran global.