Utama Google Google kini menawarkan hasil carian dikuasakan AI kepada pengguna di Malaysia

Google kini menawarkan hasil carian dikuasakan AI kepada pengguna di Malaysia

383
0

Google telah memperluaskan hasil carian berkuasakan kecerdasan buatan (AI) yang dinamakan sebagai Search Generative Experience (SGE) di lebih dari 120 buah negara termasuk Malaysia. Ciri ini akan menunjukkan kepada pengguna respon yang dijana oleh AI berdasarkan input pengguna pada bahagian atas paparan hasil carian. Respon ini juga turut menyediakan pautan kepada hasil carian berdasarkan input pengguna.

Gergasi enjin carian ini juga berhasrat menambahbaik kepenggunaan pengguna bagi membolehkan pengguna memahami topik dengan lebih pantas, mendapatkan pandangan baharu dan juga menyiapkan tugasan dengan lebih cepat.

Pengguna boleh memilih ciri ini menerusi Google Search Labs yang boleh diaktifkan hanya menerusi pelayar web Google Chrome. Jika menggunakan pelayar lain, satu notis akan meminta pengguna memasangkan pelayar tersebut atau aplikasi Google jika pengguna menggunakan telefon pintar.

Bagi pengguna yang telah memilih mengaktifkan ciri tersebut, respon janaan AI secara automatik akan ditunjukkan kepada pengguna apabila perkataan carian mereka diolah dalam bentuk pertanyaan. Selain itu, apabila pengguna hanya mencari sesuatu perkataan atau nama, pengguna akan diajukan sama ada ingin mendapatkan sekilas pandang maklumat janaan AI untuk carian tersebut, bersama-sama satu butang untuk menjana respon tersebut.

Turut disediakan pilihan untuk mendapatkan soalan susulan menerusi tab “Converse” yang boleh dipilih pada bahagian bawah bar carian. Respon janaan AI ini hanya akan ditunjukkan apabila menggunakan Google Chrome atau aplikasi Google. Carian Google menerusi pelayar-pelayar lain masih lagi kekal memaparkan hasil carian seperti sebelum ini.

Tidak semua ciri daripada Google SGE ditawarkan kepada pengguna di Malaysia buat masa ini. Antaranya fungsi menjana imej dan sokongan pertanyaan dalam bahasa Melayu masih lagi belum ditawarkan.

Halaman memilih menggunakan ciri Google SGE juga menyatakan “Ends on May 2024” yang memberikan bayangan ia mungkin tidak akan kekal lama. Atau mungkin juga akan ditawarkan sebagai fungsi berbayar kelak.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.