Utama Android Samsung Imej Pengolokan Samsung Galaxy S25 FE yang tertiris memperlihatkan Rekaan Nipis

Imej Pengolokan Samsung Galaxy S25 FE yang tertiris memperlihatkan Rekaan Nipis

65
0

Ketika tumpuan lebih terarah pada telefon pintar boleh lipat Samsung yang dijangka diperkenalkan di dalam acara Samsung Unpacked pada bulan hadapan, terdapat sebuah lagi telefon pintar mercu yang sedang di dalam pembikinan. Samsung Galaxy S25 FE dijangka akan dilancarkan dalam tahun ini dan baru-baru ini telah muncul dalam bentuk imej pengolokan CAD.

Menurut SammyGuru, imej yang didakwa sebagai Galaxy S25 FE tersebut kelihatan mirip dengan model sebelum ini dengan bingkai rata, paparan berpenebuk lubang, dan tri-kamera. Secara ringkas, Samsung tidak merancang untuk memperkenalkan perubahan rekabentuk yang drastik.

Pun begitu, terdapat beberapa perubahan kecil berbanding Galaxy S24 FE sebelum ini terutama dari segi ukurannya. Berdasarkan maklumat yang ditiriskan tersebut, Galaxy S25 FE akan berukuran 161.4 x 76.6 x 7.4mm, lebih nipis dari S24 FE yang berukuran 162 x 77.3 x 8mm. Galaxy S25 FE ini juga kelak akan menampilkan paparan 6.7-inci dengan bezel yang lebih nipis.

Setakat ini Samsung masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung Galaxy S25 FE dan apa yang ada di internet setakat ini hanyalah sekadar khabar angin.

Salah satu desas-desus yang diperkatakan, Galaxy S25 FE akan dilengkapkan dengan pemprosesan sama ada Exynos 2400 atau Dimensity 9400 yang bergandingan dengan RAM 12GB. Ia juga dikatakan akan mempunyai pilihan storan 256GB atau 512GB, serta dioperasikan oleh One UI 8.

Selain itu, sistem fotografinya akan didatangkan dalam bentuk kamera utama 50MP, kamera telefoto 8MP dan ultra-lebar 12MP, sama seperti model sebelumnya. Untuk kamera hadapannya pula bagaimanapun akan dinaik taraf kepada kamera 12MP.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.