Utama Android Samsung Ulasan Samsung Galaxy S24 FE: Kuasa Telefon Pintar Mercu Galaxy AI kini...

Ulasan Samsung Galaxy S24 FE: Kuasa Telefon Pintar Mercu Galaxy AI kini pada Harga Lebih Mesra Bajet

526
0

Samsung Galaxy S24 FE bukan hanya sekadar pilihan yang lebih mesra bajet di kalangan barisan siri telefon pintar mercu keluaran Samsung pada tahun ini. Ia mempunyai kelebihannya yang tersendiri walaupun tidak menawarkan kuasa pemprosesan atau kualiti kamera yang sama seperti adik-beradiknya yang lebih mahal.

Pengurangan pada beberapa sudut merupakan sesuatu yang amat berbaloi dengan harganya disamping masih menawarkan ciri-ciri Galaxy AI sepenuhnya, paparan yang cantik dan tahap ketahanan bateri yang cemerlang. Ia seterusnya menjadikan telefon pintar peringkat menengah yang wajar untuk dipertimbangkan.

Spesifikasi

Ukuran162 x 77.3 x 8mm
Berat213g
Skrin Dynamic AMOLED 2X 6.7-inci; kecerahan puncak 1,900 nit
Resolusi1080 x 2340 piksel (FHD+)
Kadar penyegaran semula skrin120Hz
PemprosesaSamsung Exynos 2400e
RAM8GB
Storan256GB / 512GB
Sistem operasiAndroid 14; One UI 6.1
Kamera belakangKamera lebar 50MP f/1.8 wide; kamera telefoto 8MP f/2.4 (3X zum); ultra-lebar 12MP f/2.2
Kamera hadapan10MP f/2.4
Bateri4,700 mAh
PengecasanBerwayar 25W; nirwayar 15W; sokongan pengecasan berbalik
WarnaBlue, Graphite, Mint dan Grey.

Harga Samsung Galaxy S24 FE di Malaysia

Samsung Galaxy S24 FE didatangkan dengan dua pilihan storan iaitu 256GB dan 512GB untuk pasaran Malaysia dengan harga seperti berikut:

  • RAM 8GB + storan 256GB – RM3,299
  • RAM 8GB + storan 512GB – RM3,899

Sebagai perbandingan, Galaxy S23 FE pada tahun lepas dijual pada harga RM2,999 untuk pilihan storan 128GB dan RM3,299 untuk pilihan storan 256GB. Anda boleh mengunjungi laman web rasmi Samsung Malaysia untuk maklumat lanjut.

Rekabentuk

Rupa luaran Samsung Galaxy S24 FE kelihatan amat mirip dengan iPhone jika sekali pandang. Dari segi lengkungan pada bucunya yang licin hinggalah pilihan warnanya, ia dirasakan seperti telefon pintar keluaran Apple tersebut. Rekabentuknya kelihatan minimalis dan tidak seperti estetika berbucu pada Galaxy S24 Ultra.

Terdapat empat warna pilihan yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia yang terdiri daripada Blue, Graphite, Mint dan Grey. Berdasarkan unit ulasan yang kami terima ini, warna Blue padanya kelihatan lembut dengan kemasan warna seakan pastel.

Salah satu aspek yang kami suka dengan Galaxy S24 FE ini adalah pada kedudukan butangnya yang kesemuanya ditempatkan pada sisi yang sama. Amat ideal apabila dipegang pada kedudukan lanskap untuk mengelakkan dari tertekan butang kuasa atau suara apabila mengambil gambar atau ketika sedang bermain permainan mudah alih.

Galaxy S24 FE menggunakan kaca tahan calar Gorilla Glass Victus Plus dan Victus 5 pada bahagian hadapan dan belakangnya. Ia berbeza dengan Victus 2 yang digunakan pada Galaxy S24 dan seperti kemasan kaca pada telefon pintar lain, kesan cap jari pada permukaan belakangnya sudah tentu tidak dapat dielakkan.

Untuk ketahanannya, telefon pintar ini mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP68 dan mampu bertahan jika ditenggelamkan di dalam air tawar berkedalaman 1.5 meter dalam tempoh sehingga 30 minit.

Apa yang membezakannya dengan Galaxy S24 selain dari pilihan warna dan jenis kaca yang digunakan, telefon pintar FE baharu ini lebih berat dan lebih tebal sedikit. Ia seberat 213 gram berbanding S24 yang hanya 167 gram.

Paparan

Kualiti paparan Galaxy S24 FE menghampiri kejituan Galaxy S24 walaupun resolusinya sama pada 1080 x 2340 piksel. Ini kerana paparan S24 FE 0.6 lebih besar dan walaupun tidak menyamai kualiti yang ditawarkan oleh Galaxy S24, ia masih lagi paparan yang cemerlang dan menawan.

Sama ada melayari laman web, menjana imej dengan Samsung AI atau menstrimkan kandungan video, paparan AMOLED S24 FE memberikan warna yang terang dan berseri dalam mod paparan lalainya. Tahap kecerahan untuk S24 FE ini pula bagaimanapun sedikit kurang pada 1,900 nits berbanding S24 dengan menawarkan 2,600 nits.

Beberapa pilihan paparan turut disediakan seperti Dark Mode dan Eye Comfort Shield yang mengehadkan pancaran warna biru bagi kegunaan pada waktu malam. Turut disediakan pilihan Always On Display bagi anda yang ingin memastikan telefon pintar anda sentiasa memaparkan waktu, tarikh dan maklumat media yang sedang dimainkan ketika paparannya dimatikan.

Perisian

Seperti pengeluar-pengeluar utama telefon pintar yang lain, Samsung mengetengahkan penggunaan AI pada telefon pintarnya. Malah, Galaxy S24 FE ini juga menggunakan cogan kata “Galaxy AI is here” untuk promosinya.

Ciri-ciri AI seperti Browsing Assist, Note Assist dan Transcript Assist seperti yang disediakan pada Galaxy Z Flip 6 dan Z Fold 6 disediakan pada telefon pintar mercu berharga mampu milik ini.

Paling kami gemari ciri Photo Assist yang membantu anda mengubah saiz, menggerakkan, membuang dan mengubah objek-objek di dalam foto yang anda ambil. Dalam kebanyakan masa ia berfungsi seperti yang kita mahukan. Namun, ada beberapa ketika imej yang kita ingin buang tersebut tidak dapat dibuangkan. Sebaliknya objek tersebut digantikan dengan objek lain yang dijanakan.

Beberapa ciri lain berasaskan AI seperti Chat Assist turut disediakan bagi membantu menterjemahkan mesej, menjana respon teks penuh berdasarkan prompt dan juga mengenalpasti kesilapan ejaan atau tatabahasa. Walaupun teksnya kelihatan agak kurang ikhlas disebabkan ia bukanlah daripada manusia, ia tetap dapat berfungsi dengan berkesan.

Turut disediakan Call Assist dan Interpreter yang menawarkan terjemahan dalam masa nyata. Buat masa ini Bahasa Melayu masih belum disediakan di dalam pek bahasa yang boleh dimuat turun. Antara bahasa yang ditawarkan pada masa ini termasuklah Arab, Cina, Itali, Jerman, Korea dan Thai selain daripada bahasa Inggeris.

Lebih seronok dengan AI

Satu lagi alatan yang seronok untuk dicuba – Sketch to Image, yang membolehkan anda mengubah lakaran kasar anda kepada imej yang janaan AI. Misalnya anda boleh melukis secara kasar gambar seekor kucing di atas foto meja yang anda ambil. Seterusnya lukisan tersebut akan dikesan sebagai kucing dan platform AI yang tersedia pada telefon pintar ini akan menjanakan gambar realistik seekor kucing.

Kita tidak bercerita tentang AI semata-mata untuk perisian Galaxy S24 FE ini. Sokongan yang berguna seperti Samsung DeX disediakan bagi membolehkan telefon pintar anda memberikan paparan seperti desktop apabila disambungkan pada monitor. Ia amat membantu jika anda ingin menjadikan telefon pintar anda peranti produktiviti. Sambungkan pada monitor serta papan kekunci dan tetikus, telefon pintar anda boleh menjadi pengganti sementara komputer riba anda.

Bagi anda yang sudah biasa menggunakan sistem operasi Android, mendapatkan aplikasi-aplikasi produktiviti pilihan anda bukanlah sesuatu yang asing lagi. Berasaskan Android 14, Samsung menjanjikan sokongan kemaskini untuk sistem operasinya untuk tempoh selama tujuh tahun.

Kamera

Berita yang baik buat anda yang menggemari fotografi mudah alih menggunakan telefon pintar. Samsung menawarkan kamera yang berkualiti bagus untuk Galaxy S24 FE ini walaupun terdapat sedikit kekurangan berbanding S24.

Beza utamanya adalah pada penggunaan sensor 8MP untuk kamera teleskopik zum optikal 3x. Ia sedikit kurang berbanding sensor 10MP yang digunakan pada S24. Hal ini tidak menjejaskan kualitinya kerana kualiti zum optikal 3x yang ditawarkannya masih lagi jitu dan pada harganya ini ia lebih daripada berbaloi.

Prestasi fotografinya tidak mengecewakan terutama apabila mengambil foto di luar bangunan pada waktu siang. Subjek yang melibatkan pemandangan, bangunan mahupun individu kelihatan semula jadi walaupun seri warnanya dinaikkan seperti kebanyakan telefon pintar mercu Samsung yang lain.

Fotografi di dalam bangunan dalam keadaan kurang pencahayaan masih lagi baik, namun tidak secemerlang fotografi di luar bangunan. Rakaman video juga cemerlang menggunakan Galaxy S24 FE. Malah anda juga boleh merakamkan pada resolusi berkualiti 8K 30 fps.

Prestasi

Mengambil kira ia lebih murah RM400 berbanding Galaxy S24, Samsung Galaxy S24 FE tidak menunjukkan perbezaan yang ketara dari segi prestasinya. Bezanya adalah penggunaan pemprosesan Exynos 2400e.

Ya, terdapat huruf ‘e’ pada belakangnya yang menunjukkan kelajuan pemprosesannya sedikit perlahan dengan penggunaan tenaga yang lebih efisien. Bersama-sama kapasiti bateri yang lebih besar, tempoh penggunaan telefon pintar ini dapat dipanjangkan.

Bagi penggunaan biasa, kami mendapati Galaxy S24 FE amat responsif dan kompeten untuk fungsi berbilang tugasan. Malah perkongsian skrin ketika panggilan video sambil sejumlah aplikasi dibuka juga tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ia mengalami kelembaban.

Galaxy S24 FE mempunyai RAM berkapasiti 8GB yang pada harga yang ditawarkan boleh dikirakan sebagai bersesuaian. Bersama-sama kadar penyegaran semula skrin 120Hz, kami dapat merasakan ia merupakan telefon pintar yang amat lancar pengendaliannya. Kadar penyegaran semula skrin 120Hz ini juga boleh menarik perhatian para peminat permainan mudah alih.

Selain itu, para gamers juga mungkin tertarik dengan sokongan teknologi ray-tracing yang memberikan visual pencahayaan yang lebih tampak hidup. Prestasi ketika memainkan permainan mudah alih juga amat baik termasuk untuk memainkan permainan berkeperluan tinggi seperti Genshim Impact.

Cuma untuk prestasinya ini jika dibandingkan dengan Galaxy S24 Ultra, anda mungkin dapat melihat perbezaan yang ketara apabila menggunakan ciri-ciri AI yang ditawarkan. Misalnya masa yang diambil untuk Sketch to Image untuk muncul sedikit lebih panjang berbanding model paling mercu Samsung keluaran tahun ini tersebut.

Bateri

Dari segi tempoh hayat bateri, Samsung Galaxy S24 FE menunjukkan prestasi yang cemerlang. Untuk sesebuah telefon pintar yang agak sederhana harganya ini pada pandangan kami memberikan pulangan yang berbaloi.

Ia mampu bertahan untuk lebih daripada sehari bagi penggunaan yang agak berat seperti menonton YouTube pada resolusi HD, bermain permainan video, mengambil foto dan merakam video serta menggunakan fungsi-fungsi AI yang disediakannya.

Kapasiti baterinya ini juga lebih besar iaitu 4,700mAh, lebih dari 700mAh berbanding S24. Sokongan pengecasannya pula seperti biasa menyokong sehingga 25W dan untuk memenuhkannya daripada sifar mengambil masa sekitar 1 jam 30 minit.

Sokongan pengecasan secara nirwayar juga disediakan pada telefon pintar ini disamping turut menyediakan sokongan pengecasan nirwayar berbalik untuk mengecas peranti-peranti lain secara nirwayar. Cuma, anda tidak boleh meletakkan harapan yang ia mampu mengecas pada kadar segera melalui kaedah ini.

Kesimpulan

Samsung Galaxy S24 FE merupakan contoh bagaimana sesebuah telefon pintar mampu menawarkan paparan berkualiti tinggi, berprestasi tinggi dan kamera yang cantik pada harga yang lebih wajar.

Dalam pada masa yang sama, ia masih menyediakan fungsi-fungsi Galaxy sebagaimana yang ditawarkan pada model yang lebih tinggi harganya. Fungsi-fungsi tersebut dapat digunakan dengan baik walaupun dalam beberapa keadaan anda masih perlu membuat semakan sendiri kerana walau canggih mana pun teknologi AI masa kini, ia masih lagi belum menyamai keupayaan otak manusia.

Secara keseluruhannya, telefon pintar ini menawarkan prestasi yang amat baik dalam segenap segi yang amat wajar dengan harga penawarannya. Layari laman web rasmi Samsung Malaysia untuk maklumat lanjut mengenai Samsung Galaxy S24 FE.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.