Utama Android Samsung Samsung Galaxy S22 dan S22 Plus dilancarkan, Harga dari RM3,699

Samsung Galaxy S22 dan S22 Plus dilancarkan, Harga dari RM3,699

520
0
Samsung-Galaxy-S22-Pilihan-Warna

Setahun selepas Samsung Galaxy S21 dilancarkan, dan sebulan selepas Galaxy S21 FE diperkenalkan, kini giliran siri tahun 2022, Samsung Galaxy S22 dilancarkan.

Selain dari model yang dinanti-nantikan oleh kebanyakan peminat, Galaxy S22 Ultra, Samsung turut memperkenalkan Galaxy S22 dan Galaxy S22 Plus menerusi siri telefon pintar ini.

Spesifikasi Samsung Galaxy S22

Menerusi model standard Galaxy S22, didapati saiznya kelihatan sedikit kecil melalui paparannya yang berukuran 6.1-inci. Paparan Dynamic AMOLED 2X ini berkeupayaan menawarkan kadar penyegaran semula sehingga 120Hz dan kadar pensampela sentuhan 240Hz. Ia juga mempunyai kecerahan maksimum sehingga 1300 nits. Tiada paparan melengkung seperti yang terdapat pada Galaxy S21 pada model kali ini, namun ia menyediakan fungsi pengimbas cap jari ultrasonik terbina dalam paparannya.

Sebagai perbandingan, Galaxy S21 pada tahun lalu mempunyai paparan 6.2-inci. Ia berukuran 151.7 x 71.2 x 7.9 mm berbanding Galaxy S22 yang berukuran 70.6 x 146 x 7.6 mm. Menarik juga melihat telefon pintar Android yang kembali hadir dengan saiz kompak berbanding saiz besar gedabak seperti kebiasaan kebelakangan ini.

Kuasa pemprosesan Galaxy S22 hadir dengan dua jenis cipset iaitu Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 atau Samsung Exynos 2200, mengikut di mana ia dipasarkan. Untuk pasaran Malaysia, model yang sampai menggunakan Snapdragon 8 Gen 1. Bersama-sama dengannya turut digandingkan dengan RAM 8GB dan storan 256GB. Telefon pintar mercu terbaru Samsung ini juga menggunakan antaramuka OneUI 4.1 yang berasaskan Android 12.

Kemasan dan Kamera

Kemasan luaran Galaxy S22 ini diperkasakan dengan bahan yang dinamakan oleh Samsung sebagai Armor Aluminium bagi meningkatkan ketahanannya. Menguatkan lagi ciri kelasakannya, paparan dan permukaan belakangnya pula hadir dengan lapisan kaca Corning Gorilla Glass Victus+. Bercakap mengenai soal kelasakan, telefon ini turut mempunyai penarafan kerintangan air dan debu IP68.

Terdapat tetapan tri-kamera pada bahagian belakangnya yang menempatkan kamera utama 50MP f/1.8 dengan autofokus dwi-piksel. Kamera berkenaan turut diapit oleh kamera telefoto 10MP f/2.4 dengan zum optikal 3x dan kamera ultra lebar 12MP f/2.4 dengan sudut pandangan 120°. Di sebelah hadapannya pula terdapat kamera 10MP f/2.2 yang boleh juga digunakan untuk tujuan swafoto atau panggilan video.

Memandangkan saiz yang ditawarkan oleh telefon ini secara keseluruhannya, kapasiti baterinya juga adalah lebih kecil berbanding model lain di dalam siri ini. Berkapasiti 3,700mAh, bateri ini hanya menyokong pengecasan sehingga 25W secara berwayar dan 15W secara nirwayar.

Telefon pintar terbaru Samsung ini juga tidak disediakan dengan Wi-Fi 6E dan hanya menggunakan Wi-Fi 6. Namun masih menawarkan 5G, Bluetooth 5.2 dan Samsung Pay melalui NFC.

Galaxy S22 akan hadir dengan pilihan warna Phantom Black, Phantom White, Green dan Pink Gold. Harganya pula bermula dari RM3,499 bagi model dengan storan 128GB, manakala model dengan storan 256GB pula harganya adalah RM3,699.

Spesifikasi Samsung Galaxy S22 Plus

Masih lagi mengekalkan falsafah rekaan yang sama dengan Galaxy S22, Samsung Galaxy S22 Plus bukan sekadar versi yang lebih besar semata-mata. Beberapa naik taraf diperkenalkan pada model ini yang turut merangkumi skrinnya.

Paparan Dynamic AMOLED 2X FHD+ 6.6-inci yang ditawarkannya menyokong kadar penyegaran semula 120Hz dan kadar pensampelan sentuhan 240Hz. Ia juga mampu mencapai kecerahan maksima 1750 nits. Saiz paparannya ini juga didapati sedikit kecil jika dibandingkan dengan S21 Plus yang mempunyai paparan 6.7-inci.

Seperkara lagi peningkatan yang ditawarkan pada model ini adalah pada kadar pengecasan berwayarnya. Baterinya yang berkapasiti 4,500mAh ini mampu mengecas pada 45W dan pengecasan nirwayar 15W. Malah, ia juga menyokong fungsi pengecasan berbalik.

Bateri ini juga didapati kecil sedikit jika dibandingkan dengan S21 Plus pada tahun lepas yang menawarkan 4,800mAh.

Dari segi ketersambungan, telefon ini menyediakan sokongan Wi-Fi 6E dan kefungsian Ultra Wide Band, sesuatu yang tidak terdapat pada Galaxy S22. Lain-lain sokongan seperti 5G, Bluetooth 5.2 dan Samsung Pay melalui NFC turut disertakan bersama.

Sama tapi tak serupa

Untuk pemprosesannya, jenis cipset yang digunakan untuk pasaran Malaysia bagi model ini adalah sama iaitu Snapdragon 8 Gen 1. Memori dan storan yang ditawarkannya juga adalah sama iaitu 8GB dengan pilihan storan sama ada 128GB atau 256GB. Begitu juga halnya dengan antaramuka telefon ini yang menggunakan OneUI 4.1 yang berasaskan Android 12.

Tetapan tri-kamera yang ditawarkannya juga sama dengan Galaxy S22 iaitu kamera utama 50MP f/1.8, ultra-lebar 12MP f/2.2 dan telefoto 10MP f/2.4. Turut disediakan kamera hadapan 10MP f/2.2.

Kelasakannya juga setara dengan adik-beradiknya yang lain melalui Armor Aluminium pada kerangkanya, serta penggunaan lapisan kaca Corning Gorilla Glass Victus+ pada paparan dan permukaan belakangnya bersama-sama penarafan kerintangan debu dan air IP68.

Samsung Galaxy S22 Plus dijual pada harga RM4,099 untuk varian 128GB, manakala varian 256GB pula berharga RM4,299. Ia juga boleh didapati dengan pilihan warna Phantom White, Phantom Black, Green dan Pink Gold.

Hadiah eksklusif untuk pra-tempahan Samsung Galaxy S22

Bagi meraikan kehadiran telefon pintar mercu keluaran terbaru ini, Samsung Malaysia telah mengumumkan para pelanggan boleh melakukan pra-tempahan bermula dari 10 Februari ini sehingga 3 Mac 2022.

Anda yang membuat pra-tempahan siri Samsung Galaxy S22 ini bakal menikmati ganjaran bernilai sehingga RM1,317. Ia merangkumi e-baucar bernilai RM800 untuk dibelanjakan di Samsung Malaysia Online Store, Silicone Cover dengan tali ‘Strap’, dan sebuah Lucky Box yang mengandungi tali ‘strap’ edisi terhad.

Selain itu, pembelian Galaxy S22 Ultra 5G pula berpeluang menerima LAMY Safari Twin Pen. Manakala buat anda yang membuat pembelian Galaxy S22 Plus dan Galaxy S22 pula berpeluang menerima Camera Filter Mount.

Pra-tempahan boleh didapati menerusi Samsung Experience Store, wakil jualan Samsung yang sah dan Samsung Malaysia Online Store. Untuk maklumat lanjut mengenai pra-tempahan ini, layari Samsung Malaysia. Anda juga boleh membuat pra-tempahan Galaxy S22 Ultra 5G dan juga Galaxy S22+/S22 5G dengan segera melalui Samsung Malaysia.

ModelHarga JualanColourHadiah Eksklusif
Samsung Galaxy S22 Ultra 5G 256GBRM 5,499Phantom Black, Phantom Silver, Green, Burgundy• e-baucar Samsung.com (“Pre-Order e-Voucher”) bernilai RM800• Galaxy S22 Ultra 5G Silicone Cover dengan Strap bernilai RM169

• 1x Lucky Box (1x strap lebar untuk Silicone Cover dengan Strap) bernilai RM79

• 1x Galaxy X LAMY Safari Twin Pen, bernilai RM269

Samsung Galaxy S22+ 5G 256GBRM 4,299Phantom Black, Phantom Silver, Green, Pink Gold• Samsung.com e-Voucher (“Pre-Order e-Voucher”) bernilai RM800.• Galaxy S22+ 5G atau Galaxy S22 5G Silicone Cover dengan Strap bernilai RM169

• 1x Lucky Box (1x wide strap untuk Silicone Cover dengan Strap) bernilai RM79

• 1x Camera Filter Mount, bernilai RM169

Samsung Galaxy S22 5G 256GBRM 3,699Phantom Black, Phantom Silver, Green, Pink Gold

 

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.