Utama Android Samsung Ulasan Samsung Galaxy Tab S7 FE: Kemas dan Produktif

Ulasan Samsung Galaxy Tab S7 FE: Kemas dan Produktif

91
0

Tablet terkini keluaran Samsung, Galaxy Tab S7 FE hadir selaku pilihan peringkat menengah dengan beberapa fungsi hebat yang dibawa dari Galaxy Tab S7.

Ia dilihat cuba menyeimbangkan penawaran antara spesifikasi premium yang digemari peminat pada harga yang munasabah. Untuk makluman, FE membawa maksud Fan Edition atau Edisi Peminat. Oleh itu, beberapa ciri menarik dari siri Galaxy Tab S7 ada pada tablet ini.

Apa yang anda perlu tahu tentang Galaxy Tab S7 FE

Di Malaysia, terdapat dua jenis varian Galaxy Tab S7 FE yang ditawarkan, iaitu:

  • Samsung Galaxy Tab S7 FE (4GB/64GB): RM1,899
  • Samsung Galaxy Tab S7 FE (6GB/128GB): RM2,199

Tablet ini boleh dikatakan berada di tengah-tengah kedudukan tablet keluaran Samsung. Ia berada di antara Galaxy Tab A7 yang lebih mesra bajet dan siri Galaxy Tab S7 yang lebih premium.

Beberapa ciri menarik dari Galaxy Tab S7 dibawakan oleh tablet ini terutamanya dari segi rekabentuk, fungsi dan saiznya, tetapi pada masa yang sama menawarkannya pada harga yang kompetitif. Tidak ketinggalan, S Pen turut disediakan bersama dengan tablet ini bagi meningkatkan produktiviti penggunaannya.

Perkakasan Galaxy Tab S7 FE

Tablet ini hadir dengan saiz skrin yang besar, sama seperti yang ditawarkan oleh Galaxy Tab S7 Plus, 12.4-inci. Melalui kerangka aluminiumnya, skrin tablet ini mempunyai nisbah aspek 16:10. Ia berukuran 284.8 x 185 x 6.3mm dan seberat 608g sahaja, justeru menjadikan ia amat nipis dan ringan bagi sesebuah tablet.

Selain dari rekaan luaran yang amat sedap mata memandang, material yang digunakan olehnya dirasakan teguh serta menampilkan rekaan yang kelihatan sofistikated.

Samsung dilihat lebih menggalakkan penggunaan tablet ini dalam orientasi melintang (landscape). Oleh yang demikian, kedudukan butang-butang kawalan, port dan elemen kefungsian lain diletakkan di tempat yang sewajarnya.

Butang kuasa dan bunyinya disediakan pada sisi yang sama bagi memudahkan pengguna mengakses dari kedua-dua orientasi. Agak sayang sedikit pada butang kuasa ini kerana tidak menyediakan fungsi pengimbas cap jari.

Pada sisi yang sama dengan butang kuasa dan kawalan bunyi tersebut, turut disediakan satu slot dulang kad mikroSD. Anda boleh menggunakannya untuk memasukkan kad mikroSD sehingga 1TB bagi tujuan penambahan ruang storan tablet ini.

Terdapat satu port mikroUSB-C 3.1 disediakan pada Galaxy Tab S7 FE pada sebelah kanan apabila diletakkan secara melintang. Ia juga boleh digunakan bagi tujuan mengecas serta bagi penambahan aksesori seperti peripheral berwayar atau skrin kedua.

Pada paparan sebelah hadapannya disediakan sebuah kamera 5MP yang diletakkan di bahagian tengah, mirip kedudukan kamera pada laptop. Kamera berkenaan boleh digunakan bagi tujuan panggilan video dan juga pengecaman wajah untuk menyahkunci.

Kamera dan pembesar suara

Turut disediakan sebuah kamera 8MP dengan fokus auto pada sebelah belakangnya. Kamera ini bukanlah yang terbaik ditawarkan pada peranti mudah alih. Namun ia memadai untuk kegunaan biasa dan boleh membantu anda dalam tugasan seperti mengimbas dokumen atau membuat rujukan fotografi untuk menghasilkan karya seni digital.

Pembesar suara stereo Dolby Atmos yang menerima penalaan oleh AKG turut disediakan pada sebelah kiri dan kanan tablet ini. Ia mampu menghasilkan audio yang jelas dan tidak ‘pecah’ apabila dikuatkan. Bagi anda yang lebih gemarkan fon telinga, sokongan codec Bluetooth juga disediakan untuk sambungan secara nirwayar. Untuk sambungan berwayar, anda bagaimanapun memerlukan menyambungkan melalui port USB-C memandangkan ia tidak menyediakan bicu audio 3.5mm.

Terdapat pin-pin Pogo disebelah bawah yang bertujuan bagi membolehkan penyambungan terus ke papan kekunci folio dari Samsung. Aksesori papan kekunci yang dijual secara berasingan berkenaan boleh bersambung terus melalui pin tersebut tanpa Bluetooth.

Sama seperti yang disediakan pada Tab S7 Plus, S7 FE juga mempunyai kawasan bermagnet yang boleh digunakan untuk melekatkan S Pen. Sungguhpun ia boleh tertanggal semula jika diletakkan di dalam beg, sekurang-kurangnya anda boleh meletakkannya dengan cermat ketika anda tidak menggunakannya.

Paparan Galaxy Tab S7 FE

Seperti juga yang terdapat pada Tab S7 Plus, skrin Tab S7 FE berukuran 12.4-inci, beresolusi 2,550 x 1,600 piksel dan dilindungi kaca Gorilla Glass 3. Kejituan paparannya membolehkan teks-teks kecil masih dapat dibaca serta membuat suntingan foto.

Nisbah aspek 16:10 yang ditawarkan olehnya adalah lebih baik berbanding 16:9, justeru memmberikan kelebihan apabila digunakan di dalam orientasi landscape.

Pun begitu, atas faktor harga yang ditawarkan olehnya, terdapat dua kekurangan ketara pada paparan Samsung Galaxy Tab S7 FE. Pertama, paparan ini bukan AMOLED seperti Tab S7 Plus.

Penggunaan paparan LCD TFT memberikan kesan pada tahap kecerahan dan kontras pada paparannya. Ia masih lagi jelas dilihat dan tiada sebarang masalah pun di sini, cuma ia tidak dinamik seperti AMOLED.

Kadar penyegaran semula skrin Tab S7 FE juga adalah rendah iaitu 60Hz sahaja berbanding 120Hz pada siri Tab S7 yang lain. Anda akan menyedari tatalan ke bawah tidak selancar yang ditawarkan oleh 120Hz seperti melayari laman web atau media sosial.

Kekurangan sebegini tidak menjadikan paparan Tab S7 FE buruk secara keseluruhannya. Bagi pengguna biasa, hal ini masih lagi boleh dimaafkan apabila mengambil kira faktor keluasan dan ketinggian resolusi paparannya. Ia masih mampu menyediakan kepuasan dalam tontonan media dan juga melakukan pelbagai aktiviti melibatkan produktiviti.

Bateri Samsung Galaxy Tab S7 FE

Tablet baharu keluaran Samsung ini hadir dengan bateri berkapasiti 10,090mAh dan mampu membawakan tempoh penggunaan secara berterusan sehingga lebih dari 12 jam. Jika anda mematikan penggunaan Wi-Fi dan juga mengurangkan tahap kecerahannya, ia mampu dilanjutkan lebih dari tempoh tersebut.

Kapasiti bateri yang besar ini memerlukan waktu mengecas yang agak lama untuk memenuhkannya dari paras sifar. Tempoh sehingga 3 jam setengah diperlukan jika anda mengecaskan melalui pengecas 15W yang disertakan bersama-sama pembeliannya.

Anda boleh mempercepatkan tempoh mengecasnya dengan menggunakan pengecas pantas. Menurut Samsung, tablet ini menyokong pengecasan pantas sehingga 45W.

Prestasi Samsung Galaxy Tab S7 FE

Pemprosesan yang digunakan oleh Tab S7 FE adalah lebih rendah prestasinya jika dibandingkan dengan apa yang digunakan oleh Tab S7 dan S7 Plus yang menggunakan Snapdragon 865+.

Ia mengggunakan Snapdragon 778G, cipset 6nm yang baharu sahaja dilancarkan pada Mei tahun ini. Pun begitu, prestasi bagi kegunaan harian yang melibatkan menyiapkan tugasan pejabat atau pembelajaran, tablet ini mampu menawarkan prestasi yang amat lancar.

Hal ini turut dibantu oleh faktor RAM sehingga 6GB seperti yang disediakan pada unit ulasan yang saya terima ini. RAM yang lebih besar ini memudahkan memudahkan kerja-kerja berbilang tugasan yang melibatkan sejumlah tetingkap aplikasi di buka apabila menggunakannya di dalam mod Samsung DeX.

Mod Desktop dengan Samsung DeX

Mod unik yang ditawarkan hanya pada tablet-tablet keluaran Samsung ini boleh diakses menerusi menu tetapan pantas yang boleh diakses dengan menyapu ke bawah skrin anda. Anda hanya tekan butang Samsung DeX berkenaan, dan tablet anda akan berubah kepada mod desktop.

Tatasusunan mod ini amat mirip dengan antaramuka PC desktop biasa seperti Windows. Malah kekunci pintas yang disediakan (CTRL+C, CTRL+V, CTRL+X dan sebagainya) juga sama.

Secara mudahnya, ia boleh menjadi sebuah ‘komputer desktop’ jika anda menyambungkannya dengan aksesori papan kekunci dan tetikus di dalam mod ini.

Anda boleh menyambungkan pada port USB-C 3.1 yang disediakan dengan dongle USB-USB untuk menyambungkan aksesori berkenaan secara berwayar atau secara Bluetooth untuk sambungan nirwayar. Port USB-C berkenaan juga menyokong output HDMI untuk tujuan penyambungan ke paparan tambahan.

Apa pun jua cara anda menyambungkan, tablet ini mampu menyediakan alternatif kepada laptop dalam keadaan tertentu.

Cuma tidak semua aplikasi mampu menyediakan paparan sewajarnya yang bersesuaian dengan orientasi desktop. Masih terdapat ruangan kosong yang amat luas yang tidak memanfaatkan penggunaan skrin yang besar ini. Hal ini bukan unik pada Samsung Galaxy Tab S7 FE ini kerana ia turut berlaku pada mana-mana tablet Android lain.

Beberapa aplikasi yang menyokong paparan desktop seperti pelayar web Samsung Browser, Google Chrome, Microsoft Office (Word, Power Point, Excel), dan aplikasi-aplikasi Samsung lain, telah memanfaatkan ruangan skrin yang besar tablet ini.

Fungsi berbilang tugas mampu dijalankan dengan baik melalui pelbagai tetingkap aplikasi dibuka menerusi mod Samsung DeX. Ini mengambil kira jumlah RAM 6GB seperti yang terdapat pada tablet ini. Saya tidak pasti sejauh mana kelancaran yang ditawarkan oleh Samsung Tab S7 FE yang mempunyai RAM 4GB sahaja.

S Pen disediakan untuk Samsung Galaxy Tab S7 FE

Seterusnya, antara daya tarikan utama pada tablet ini, S Pen. Pembelian Samsung Galaxy Tab S7 FE turut didatangkan bersama-sama S Pen.

S Pen untuk tablet ini apabila dipegang anda dapat merasakan sama seperti memegang pen biasa dan tidak memberikan rasa janggal seperti sesetengah pena stylus. Penggunaannya seperti menulis, melukis, mengendalikan input paparan dan sebagainya juga amat lancar.

Malah, tablet dan S Pen ini juga menyokong fungsi ‘palm rejection’ yang bertujuan menghalang dari input yang tidak disengajakan apabila menggunakannya.

Paparan skrin yang besar ini juga turut membantu memudahkan aktiviti melibatkan S Pen terutamanya menghasilkan karya seni lukisan digital. Bercakap mengenai seni lukis digital, Tab S7 FE turut didatangkan bersama-sama langganan percuma aplikasi Clip Paint Studio selama enam bulan.

Spesifikasi Samsung Galaxy Tab S7 FE

Paparan12.4-inci TFT LCD
2,560 × 1,600 (WQXGA)
CipsetQualcomm Snapdragon 778G
Memori/Storan4GB/64GB
6GB/128GB
MikroSD sehingga 1TB
Bateri10,090mAh
Sokongan pengecasan pantas sehingga 45Wh
KameraBelakang: 8MP, AF
Depan: 5MP
Video: 1080p @ 30fps
KetersambunganWi-Fi 5
Bluetooth 5
Type C USB 3.2 Gen1 (DP Output)
GPS/GLONASS
Ukuran284.8 x 185.0 x 6.3mm
Berat608g
WarnaMystic Black, Mystic Silver, Mystic Pink

Kelebihan

  • Reka bentuk premium
  • Tempoh penggunaan bateri yang panjang sehingga lebih 12 jam
  • Disertakan bersama-sama S Pen
  • Perisian produktiviti yang mantap
  • Pembesar suara yang bagus

Kekurangan

  • Kamera biasa-biasa
  • Paparan hanya 60Hz
  • Tiada ciri keselamtan biometrik pengimbas cap jari

Harga Samsung Galaxy Tab S7 FE

Terdapat dua pilihan spesifikasi yang ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu yang mempunyai sambungan Wi-Fi sahaja.

  • Samsung Galaxy Tab S7 FE 4GB RAM dan storan 64GB – RM1,899
  • Samsung Galaxy Tab S7 FE 6GB RAM dan storan 128GB – RM2,199

Aksesori lain Samsung Galaxy Tab S7 FE

Sehingga 31 Oktober ini, pembelian Samsung Galaxy Tab S7 FE akan disertakan bersama tawaran menarik secara percuma. Antara aksesori dan langganan percuma yang ditawarkan termasuklah:

  • Book Cover (bernilai RM339)
  • Langganan YouTube Premium selama 4 bulan (bernilai RM72)
  • Langganan aplikasi Clip Studio Paint selama 6 bulan (bernilai RM221)
  • Multi BT Keyboard (bernilai RM179) – khusus untuk pilihan RAM 6GB, storan 128GB sahaja.

Anda boleh mendapatkan Samsung Galaxy Tab S7 FE dengan mengunjungi kedai dalam talian di Samsung MalaysiaLazada dan juga Shopee.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.