Windows 7 baru sahaja ditamatkan sokongannya dari Microsoft pada 14 Januari 2020 lalu. Penamatan ini menjadikan sistem operasi Windows 7 tidak lagi menerima segala kemaskini rasmi dari Microsoft.
Bagaimanapun pada 23 Januari baru-baru ini, Free Software Foundation telah memfailkan petisyen kepada Microsoft supaya menjadikan Windows 7 sebagai sumber terbuka dan menghidupkan semula kitaran hayatnya.
“Microsoft’s support of Windows 7 is over, but its life doesn’t have to end. We call on Microsoft to upcycle it instead,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh yayasan berkenaan.
Tambah kenyataan dari yayasan tersebut, sepanjang 10 tahun ini Microsoft telah “menceroboh privasi” dan “meracun sistem pendidikan”. Langkah memberhentikan sokongan terhadap Windows 7 merupakan langkah yang tepat bagi “menebus kesilapan” Microsoft.
Walaubagaimanapun, yayasan berkenaan tidak bersetuju jika masa depan Windows 7 dibiarkan begitu sahaja. Justeru, Free Software Foundation telah memfailkan petisyen untuk menjadikan Windows 7 sebagai sumber terbuka. Melaluinya, komuniti sumber terbuka dapat mempelajari dan menambahbaik kelemahan yang terdapat pada Windows 7.
Pihak yayasan mensasarkan sejumlah 7,777 tandatangan dapat dikumpul untuk petisyen tersebut.
Sungguhpun sokongan untuk Windows 7 sudah ditamatkan, Microsoft masih lagi menyediakan sokongan kemaskini untuk 3 tahun lagi untuk pengguna-pengguna Windows 7 yang mampu membayar bagi mendapatkan kemaskini tersebut.
Sebagai contoh, kerajaan German telah membelanjakan sejumlah $887,000 (RM 3.6 juta) untuk mendapatkan Windows 7 Extended Security Updates (ESUs) bagi tahun 2020 ini.
Hal ini memungkinkan usaha mendesak Microsoft supaya menjadikan Windows 7 sumber terbuka adalah sesuatu yang agak mustahil untuk berlaku.
Sumber berita diperoleh dari The Register