Perkembangan terkini kontroversi yang menyelubungi kemaskini Windows 11 August 2025 (KB5063878) membawa kepada penemuan baharu yang memberikan maklumat lebih jelas mengenai punca yang membawa kepada kerosakan SSD.

Sebelum ini kerosakan tersebut disyaki berpunca daripada SSD buatan Phison yang kemudiannya mengambil tindakan menjalankan siasatan. Bagaimanapun, punca kerosakan tersebut tidak dapat diketemukan setelah ujian selama 4,500 jam telah dijalankan.

Microsoft juga memaklumkan keadaan hampir sama yang mendapati tiada hubung kait di antara kemaskini Windows 11 dengan kerosakan pemacu yang dilaporkan di internet. Pun begitu, beberapa pengguna masih lagi yakin bahawa kemaskini Windows 11 tersebut merupakan punca kerosakan.

Baru-baru ini kumpulan peminat PC Dibuat Individu dengan Yakin (DIY) China di Facebook mendakwa telah mengenalpasti punca sebenar. Menurut pentadbir kumpulan Rose Lee, pemacu yang terkesan menggunakan firmware pra-edaran dan bukannya versi muktamad untuk edaran pengguna umum. Firmware berkenaan kadangkala digunakan untuk pengujian awal dan unit penilaian yang kadangkala boleh bertindak di luar kawalan dan berpotensi menjadi punca kerosakan selepas kemaskini.

Lee juga telah memaklumkan kepada jurutera Phison dan seterusnya mengesahkan penemuan tersebut di dalam makmal kerana firmware rasmi yang diedarkan tidak mengalami masalah yang sama. Oleh kerana pemacu pengguna telah dimuatkan dengan firmware muktamad sebelum dihantar ke pasaran, isu tersebut tidak menjejaskan majoriti pengguna. Ini juga menjelaskan keadaan yang mana Microsoft dan Phison tidak dapat menemukan punca kerosakan ketika siasatan.

Bagi yang masih lagi berdepan dengan masalah berkaitan SSD berkenaan, anda dicadangkan untuk mengemaskini firmware pada perkakasan yang terlibat. Seperti lazimnya, membuat sandaran data-data penting sebelum menjalankan kemaskini dapat menghindarkan risiko kehilangan atau kerosakan disebabkan kejadian luar jangka ketika proses.

Tinggalkan komentar