Utama Teknologi Terberg Tractors Malaysia Milik Sime Darby Mengembangkan Jejak di Asia Pasifik dengan...

Terberg Tractors Malaysia Milik Sime Darby Mengembangkan Jejak di Asia Pasifik dengan Pelancaran Traktor Terminal Elektrik Pertama Malaysia

552
0
Terberg-Tractors-Malaysia-Model-YT200EV

Pasir Gudang, 30 November 2022 – Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd (TTM), syarikat usaha sama antara Sime Darby Industrial Sdn Bhd (Sime Darby Industrial) dan Royal Terberg Group BV yang berpusat di Belanda, merancang untuk memperluaskan lagi jejaknya di Asia Pasifik dengan pelancaran Model YT200EV, traktor terminal elektrik bateri yang pertama di Malaysia. Traktor terminal YT200EV yang merupakan buatan tempatan sepenuhnya dihasilkan di pusat pembuatan dan pemasangan yang terletak di Pasir Gudang, Johor. Traktor terminal tersebut akan tersedia untuk pengeluaran dan pengedaran bermula awal Disember 2022. 

Seiring dengan sasaran Malaysia untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050, pengenalan model YT200EV ini dianggarkan dapat menangani isu pelepasan karbon yang semakin meningkat dalam industri logistik dan pengangkutan. Pada tahun 2021, jumlah total pelepasan gas CO2 terhasil daripada pengangkutan di Malaysia mencecah sebanyak 55 tan metrik, sekaligus menyumbang kepada 24% pelepasan gas CO2 yang terhasil daripada sektor pengangkutan dan logistik dunia. Dengan menggantikan traktor terminal sedia ada dengan kenderaan berat elektrik keluaran Terberg, setiap traktor dapat mengurangkan kira-kira 30 tan gas CO2 pada setiap tahun. Ia bersamaan dengan menanam lebih satu juta batang pokok atau mengurangkan lebih daripada 6,000 penggunaan kereta di jalan raya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Terberg Tractors Malaysia Sdn Bhd, Encik Boo Wei Ching berkata semasa majlis pelancaran kenderaan tersebut, “Kami bangga dapat membawakan traktor terminal elektrik pertama di Malaysia yang dikuasai sepenuhnya oleh bateri, yang juga selaras dengan rangka kerja alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG). Sebagai salah satu daripada pembuat traktor terminal terkemuka yang menyelia rantaian bekalan di seluruh rantau APAC selain daripada Malaysia, Terberg yakin bahawa tambahan terbaru kepada industri ini merupakan sebuah langkah besar yang akan melengkapi pelan hala tuju aspirasi hijau, dengan fokus dalam menggantikan amalan-amalan industri sedia ada dengan amalan yang lebih mampan. Sebagai peneraju dalam industri, kami di Terberg merasakan bahawa ia merupakan tanggungjawab kami untuk mengambil bahagian secara aktif dalam mencari penyelesaian kepada isu pelepasan karbon. Selain daripada mengurangkan pelepasan karbon, kenderaan-kenderaan ini juga dapat mengurangkan kos operasi yang berkaitan dengan diesel dan enjin bahan api fosil yang lain dengan amat ketara. Kami berharap dapat berkongsi kesemua faedah ini dengan industri-industri selain daripada sektor pelabuhan dan logistik yang turut memerlukan traktor terminal, dan selanjutnya memacu industri ke arah amalan-amalan yang lebih hijau dan mesra alam sekitar.”

Majlis pelancaran tersebut diadakan di Terberg Manufacturing & Assembly Sdn Bhd (TMA) pada Selasa lalu di Pasir Gudang, dan dihadiri oleh Malaysia’s Book of Records yang mengiktiraf TTM sebagai Pengeluar Traktor Terminal Elektrik Pertama di Malaysia. 

EV Buat Kegunaan Industri 

Terberg-Tractors-Malaysia-Mr-Boo-Wei-ChingDihasilkan di Pasir Gudang, Johor, traktor terminal YT200EV akan menjadi titik permulaan yang kukuh untuk para pemain industri mencapai aspirasi hijau dalam operasi mereka. Traktor terminal ini akan digunakan dalam industri penghantaran dan logistik yang menyokong pergerakan kargo dan kontena di terminal-terminal kontena. Traktor terminal ini juga merupakan padanan yang sempurna untuk beroperasi di pusat pengedaran, gudang-gudang, kemudahan penerimaan, depoh antara mod dan loji industri untuk pemirauan (shunting) dan penyenggaraan dalam (housekeeping).

Traktor terminal YT200V ini juga menggunakan bateri Lithium Iron Phosphate (LFP) bersaiz 350kWh yang mampu membekalkan tempoh tenaga berterusan sehingga 10 jam (dalam operasi pelabuhan kontena) dan boleh dicas sepenuhnya dalam tempoh satu jam. Kenderaan tersebut juga mempunyai pemacu motor sejukan air tak segerak 240kW yang dilengkapi dengan tork yang mencukupi sesuai buat menampung muatan sehingga 90 tan, menjadikannya lebih cekap dan jimat kos berbanding traktor diesel.

“Berbeza dengan traktor tradisional, traktor terminal YT200EV kami direka dengan ciri-ciri yang minimum kerana ia tidak memerlukan komponen enjin yang banyak sebagai kenderaan elektrik. Hal ini bermakna isu haus dan lusuh serta kos-kos penyelenggaraan tidak akan menjadi kerisauan yang besar untuk para pelanggan. Tambahan pula, TTM juga akan memperuntukkan 10% daripada keuntungan tahunan kami untuk menggalakkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan produk-produk baharu serta penambahbaikan produk-produk sedia ada, terutamanya traktor terminal elektrik kami,” tambah Boo. 

Dengan terminal traktor baharu ini, Terberg Tractors Malaysia merancang untuk menggandakan keupayaan pengeluaran di Malaysia daripada 600 unit traktor terminal untuk memenuhi jangkaan permintaan daripada pelanggan sedia ada serta pelanggan baharu mereka dalam segmen-segmen pasaran baharu sepanjang tiga tahun akan datang. TTM telah melaburkan lebih daripada RM10 juta untuk menaik taraf infrastruktur sedia ada untuk memenuhi output pengeluaran selaras dengan permintaan yang dijangkakan. 

TTM merupakan usaha sama 50:50 (JV) antara Sime Darby Industrial dan kumpulan syarikat Belanda yang berusia 153 tahun tersebut, dan merupakan pakar dalam pembangunan dan pembuatan kenderaan-kenderaan khas. Ditubuhkan pada tahun 2005, TTM telah dilantik sebagai pengedar eksklusif traktor terminal Terberg di lebih 46 buah negara di rantau Asia Pasifik. 

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Terberg dan perkhidmatan yang ditawarkan, sila layari https://www.terbergspecialvehicles.com/en/. Untuk spesifikasi dan maklumat terperinci mengenai Model YT200EV sila layari https://www.terbergspecialvehicles.com/en/development/electric/.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.