Utama Apple Kesatuan Eropah (EU) cadang mewajibkan USB-C pada semua peranti, termasuk iPhone

Kesatuan Eropah (EU) cadang mewajibkan USB-C pada semua peranti, termasuk iPhone

516
0

Suruhanjaya Eropah, sebuah badan eksekutif Kesatuan Eropah telah mengumumkan usul mewajibkan pengeluar telefon pintar dan elektronik menyeragamkan port pengecasan peranti masing-masing dengan USB-C.

Usul ini dijangka akan memberikan kesan besar terhadap Apple yang masih lagi menggunakan penyambung jenis Lightning.

Undang-undang ini diwujudkan bertujuan mengurangkan pembaziran sisa elektronik dengan menggalakkan orang ramai mengguna semula pengecas dan kabel sedia ada apabila membeli barangan elektronik baharu.

Selain dari telefon, undang-undang ini juga akan merangkumi peranti lain seperti tablet, fon telinga, pembesar suara mudah alih, konsol permainan video dan juga kamera.

Pengeluar juga akan diwajibkan untuk menggunakan piawaian pengecasan pantas. Serta perlu menyediakan maklumat sokongan penetapan pengecasan bagi sesebuah peranti. Melalui usul ini, pengguna akan membeli peranti baharu tanpa disertakan dengan pengecas.

Usul ini bagaimanapun akan hanya melibatkan peranti berwayar sahaja tanpa melibatkan pengecas nirwayar. Peranti yang boleh dicaskan secara nirwayar tidak diwajibkan untuk menggunakan peraturan berkenaan.

Pada tahun 2018, sekitar 29 peratus pengecas telefon yang dijual di negara-negara Kesatuan Eropah menggunakan USB-C. Manakala 21 peratus lagi menggunakan Lightning dengan baki selebihnya menggunakan piawaian Mikro USB lama.

Usaha menetapkan pengeluar telefon menggunakan piawaian pengecasan yang sama di Kesatuan Eropah sudah bermula sejak 2009 lagi. Ketika itu Apple, Samsung, Huawei dan Nokia menandatangani persetujuan menggunakan piawaian yang sama.

Namun, walaupun sudah mengurangkan piawaian pengecasan dari lebih 30 jenis kepada tiga sahaja (Mikro USB, USB-C dan Lightning), para pembuat dasar merasakan usaha secara sukarela ini tidak mencapai hasrat asalnya.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.