CIMB Bank telah mengumumkan langkah keselamatan baharu untuk aplikasi perbankan mudah alih CIMB OCTO. Langkah ini memerlukan kesemua pelanggan baharu dan sedia ada melengkapkan pengesahan identiti elektronik (eKYC) apabila melakukan log masuk kali pertama apabila mengaktifkan aplikasi pada peranti baharu atau telah direset bermula dari 6 Oktober 2025.

Menurut CIMB, pengenalan eKYC ini merupakan sebahagian daripada usaha mengukuhkan keselamatan perbankan dalam talian dan membanteras kegiatan penipuan.

Pengguna perlu menjalani tempoh bertenang 12-jam selepas memulakan log masuk kali pertama tersebut. Sebaik sahaja tempoh tersebut tamat, satu SMS notifikasi akan dihantar bagi mengesahkan aplikasi tersebut sedia untuk digunakan.

Proses eKYC mengesahkan identiti pengguna dengan membuat pengesahan dokumen dan pengecaman wajah yang dilakukan secara dalam talian. Sistem tersebut buat masa ini hanya menyokong penggunaan MyKad sebagai dokumen pengenalan yang sah. Bagi pengguna yang menggunakan dokumen pengenalan diri yang lain perlu mengunjungi cawangan CIMB berhampiran untuk proses pengesahan secara manual.

Tambah CIMB lagi, keperluan baharu ini direka bagi menjadikan proses pengaktifan lebih selamat disamping memberikan kemudahan kepada pelanggan. Maklumat lanjut dan panduan melengkapkan proses eKYC boleh dibuat menerusi aplikasi CIMB OCTO atau menghubungi Pusat Panggilan Pengguna CIMB di +603 6204 7788.

Tinggalkan komentar