Pembangun-pembangun permainan video pada kebiasaannya akan berusaha menjana pendapatan dari permainan yang dihasilkannya selain dari hasil kutipan jualannya. Terkini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Electronic Arts (EA) Andrew Wilson sedang mempertimbangkan iklan di dalam permainan yang diterbitkannya termasuk yang bertaraf AAA.
Beliau berkata demikian ketika sesi pembentangan laporan kewangan sukuan terkini EA dengan para pemegang taruh syarikat. Iklan-iklan tersebut dikatakan akan dipaparkan “dengan teliti” di dalam permainan-permainan terbitannya kelak.
Cadangan tersebut diutarakan kerana mengambil kira kebanyakan pemain-pemain meluangkan masa yang panjang untuk sesebuah permainan. Atas sebab itu, Andrew Wilson menyatakan tindakan meletakkan iklan di dalam permainan adalah sesuatu yang wajar untuk menjana pertumbuhan syarikat.
Iklan-iklan di dalam permainan video bukanlah sesuatu yang asing lagi. Permainan-permainan mudah alih terutamanya yang percuma bagi menampung kos perbelanjaannya. Untuk permainan yang berbayar, ia pada kebiasaannya akan hadir secara halus dan tidak ketara dan masih lagi boleh dimaafkan.
Namun, untuk permainan video bermutu tinggi yang bertaraf AAA diselitkan dengan iklan yang terlalu ketara dan menonjol adalah sesuatu yang tidak wajar memandangkan pengguna sudah pun membayar pada harga penuh untuk memainkannya. Berkemungkinan ia mampu menjejaskan pengalaman kepermainan permainan tersebut kerana gangguan dari iklan tersebut.