Utama Dron DJI Mavic Air 2 diumumkan secara rasmi; Berharga dari RM3,290

DJI Mavic Air 2 diumumkan secara rasmi; Berharga dari RM3,290

562
0

DJI secara rasminya telah mengumumkan produk terbaru, Mavic Air 2. Dron terbaru ini menampilkan penderia imej yang lebih besar, waktu penerbangan sehingga 34 minit dan juga alat kawalan yang direka semula.

Selain itu, peranti ini tidak menyertakan penyambungan Wi-Fi, sebaliknya digantikan dengan teknologi pemancaran DJI OccuSync.

Dari segi rekaan, dron ini sedikit besar dan berat jika dibandingkan dengan Mavic Air. Cuma, ianya masih lagi kecil berbanding model Mavic 2 Pro dan Zoom. Oleh itu, Mavic Air 2 adalah lebih kompak dan membolehkan kaki bebaling (propeller) dilipat untuk disimpan, serta lebih mudah dibawa ke mana sahaja.

Mavic Air 2 turut dilengkapkan dengan penderia Quad Bayer yang dipasangkan pada belakang lensa tetap 28mm f/2.8. Kamera berkenaan mampu mengambil bahan visual 4K pada kadar 60fps.

Hadir dengan keupayaan HDR, kamera ini juga mampu mengambil video selang-masa 8K. Untuk fotografi pula, kamera ini boleh mengambil imej 12MP dan 48MP, serta menyokong foto HDR panorama, dan shot kilat video pegun pada resolusi penuh.

Dron DJI yang lebih pintar

Dron ini merupakan peranti sulung DJI yang menampilkan teknologi AirSense yang mengesan dan mengeluarkan amaran ke alat kawalan dron mengenai kehadiran pesawat berhampiran.

Lain-lain ciri keselamatan yang turut disertakan termasuklah penderia halangan yang diletakkan di bahagian hadapan dan belakang bagi mengelakkan pelanggaran. Penderia di sebelah bawah juga diletakkan di bawah bagi membantu pendaratan dalam keadaan kurang pencahayaan. Tidak ketinggalan, dron ini juga dilengkapkan dengan mod penerbangan berautonomi yang dipertingkatkan.

Alat kawalan DJI Mavic Air 2 juga turut dipertingkatkan dari segi rekaannya. Untuk model ini, alat kawalannya menempatkan telefon pintar pada sebelah atas. Seterusnya memudahkan bagi pengguna yang memiliki telefon pintar yang besar.

DJI Mavic Air 2 dijangka akan memasuki pasaran Amerika Syarikat pada 11 Mei dengan harga US$799 untuk pakej pukal asas. Bagi pakej pukal Fly More, harga pasarannya adalah US$988. Pakej ini didatangkan dengan penapis ND, sebuah beg khas, pelindung prop, hab pengecas, dan tiga bateri.

Pengedar tempatan, March telah membuka pra-tempahan untuk pakej pukal berkenaan dengan harga masing-masing iaitu, RM3,290 dan RM4,290. Setakat ini tarikh kemasukan dron terbaru DJI ini ke pasaran tempatan masih lagi belum diumumkan.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.