Disney+, telah mengumumkan kenaikan harga bagi pelan langganannya di Malaysia, yang akan berkuat kuasa mulai 18 Disember 2025. Perubahan ini hadir tidak lama selepas perkhidmatan tersebut dijenamakan semula sebagai Disney+ untuk pasaran tempatan.
Menurut maklumat yang disiarkan di halaman pusat bantuan platform itu, Pelan Basic Disney+ akan dinaikkan kepada RM29.90 sebulan, peningkatan sebanyak RM5 daripada harga semasa RM24.90.
Pelan Premium pula akan dinaikkan harganya kepada RM49.90 sebulan berbanding RM39.90 sebelum ini. Bagi pelanggan Pelan Premium Suku Tahunan, harga baharu yang akan dikenakan ialah RM99.90 untuk setiap tiga bulan.
Walau bagaimanapun, harga untuk langganan tahunan tidak mengalami sebarang perubahan. Pelan Asas Tahunan kekal pada harga RM214.90 setahun, manakala Pelan Premium Tahunan berharga RM289.90 setahun.
Pihak syarikat menjelaskan bahawa pelanggan sedia ada akan melihat perubahan harga ini dalam kitaran pengebilan mereka pada atau selepas 18 Disember 2025. Jika tempoh pengebilan pengguna berakhir sebelum tarikh tersebut tetapi pembayaran tidak berjaya diproses sehingga perubahan berkuat kuasa, harga baharu akan dikenakan.
Kenaikan ini merupakan kali kedua berlaku sejak platform penstriman tersebut diperkenalkan di Malaysia, dan ia sejajar dengan trend kenaikan harga yang telah dilaksanakan di Amerika Syarikat pada bulan sebelumnya.













