Platform AMD AM4 bukanlah sebuah platform yang baru memandangkan AMD telah pun menggunakannya pada APU A-Series Generasi Ketujuh yang berasaskan Excavator pada September 2016 yang lalu. Bagaimanapun, melalui pelancaran pemprosesan Ryzen 7 baru-baru ini, platform ini bakal dimanfaatkan sepenuhnya.
Selain dari Ryzen 7, platform AM4 turut menyokong APU berteraskan Zen akan datang yang menggunakan kod nama Raven Ridge. Malah, AMD turut menyatakan akan menyokong platform ini sehingga tahun 2020.
Bagi pengguna yang memilih untuk menggunakan pemprosesan AMD, harga dan prestasi merupakan satu keutamaan. Hal ini turut sama tidak terkecuali pada pemilihan papan induk berplatform AM4. Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam pemilihan papan induk adalah chipset yang digunakan pada sesebuah papan induk tersebut.
Berikut adalah jadual berkenaan papan induk platform AM4 berserta jenis chipset yang digunakan;
Memahami cara memilih cipset yang betul sesuai dengan keperluan dan kehendak pengguna dapat memberikan anda sedikit panduan berkenaan sejauh mana tahap dan kemampuan kuasa pemprosesan komputer anda. Misalnya, bagi pengguna yang mengutamakan kuasa pemprosesan, papan induk AM4 dengan chipset seperti X370, B350 atau X300 dapat menyokong fungsi overclocking.
Bagaimanapun, untuk pengguna yang ingin menjalankan dua kad grafik secara serentak pada platform AM4 ini, hanya chipset X370 dan X300 sahaja yang boleh melakukannya.
Untuk chipset A320 dan A300 pula, papan induk berkenaan mampu menawarkan prestasi seadanya dan sesuai untuk pengguna yang tidak berminat untuk melakukan overclock serta tiada keperluan untuk bermain game.
Menurut AMD, rakan-rakan pengeluar papan induk seperti ASRock, ASUS, Biostar, GIGABYTE, dan MSI telah pun menyiapkan lebih dari 80 model papan induk AM4 khusus untuk Ryzen 7. Dijangkakan, papan induk AM4 bakal menjadi pilihan popular bagi peminat AMD memandangkan untuk tempoh beberapa tahun akan datang, AMD akan menghasilkan lebih banyak pemprosesan berasaskan Zen ini secara berperingkat.
Sumber berita diperoleh dari AMD