Utama Teknologi Prob Angkasa China, Tianwen-1 berjaya mendarat di Planet Marikh

Prob Angkasa China, Tianwen-1 berjaya mendarat di Planet Marikh

113
0

China telah berjaya mendaratkan prob angkasa buatannya di Planet Marikh semalam, menjadikannya negara ketiga yang mendarat di planet merah tersebut. Misi angkasa Tianwen-1 merupakan percubaan pertama China mendarat di permukaan planet lain.

Kapal angkasa Tianwen-1 yang telah mengorbit Marikh sejak Februari lalu telah melancarkan kapsul berperisainya ke permukaan planet tersebut petang semalam.

Di dalam kapsul tersebut mengandungi sebuah perayau (rover) yang dinamakan sebagai Zhurong. Waktu mendarat kapsul tersebut secara rasminya dicatatkan pada jam 7.18 pagi (waktu Malaysia) tadi.

Sungguhpun telah berjaya mendarat, Agensi Angkasa Kebangsaan China, CNSA tidak banyak berkongsikan maklumat mengenai pendaratan tersebut kepada orang ramai. Ini mungkin disebabkan kebimbangan di kalangan pemimpin China jika misi ini gagal akan memberi kesan buruk terhadap nama baik kepimpinan parti pemerintah.

Hal ini amat berbeza dengan NASA yang terus berkongsikan imej Perayau Perseverance beberapa minit selepas pendaratannya melalui Deep Space Network.

China mengikuti jejak langkah A.S. yang sebelum ini telah berjaya mendaratkan perayaunya di atas permukaan Marikh.

Perayau Zhurong telah mendarat di Utopia Planitia, salah satu lubang kawah terbesar di Marikh. Kapal angkasa NASA yang tidak lagi berfungsi, Viking 2 turut sama pernah mendarat di kawah berkenaan pada 1976.

Utopia Planitia dilaporkan mungkin mengandungi sejumlah ais bawah tanah yang sebelum ini mungkin pernah dilitupi oleh lautan Marikh.

Para penyelidik berpendapat, jika terdapat air di sesuatu tempat, terdapat kemungkinan ada hidupan yang pernah wujud di sana. Zhurong, seperti Perseverance akan menjelajah kawasan tersebut bagi mencari kesan-kesan hidupan dari masa silam Marikh.

Terdapat tiga kapal angkasa termasuk Tianwen-1 telah dilancarkan ke Marikh sejak Julai 2020. Pengorbit dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Hope pula telah memasuki orbit Marikh pada Februari lalu dan akan meninjau atmosfera Marikh dari angkasa.

Perayau Perseverance milik NASA juga kini ditemani dengan peranti boleh terbang, Ingenuity yang mula beroperasi pada awal tahun ini. Kesemua misi-misi ini bakal memberikan lebih jawapan kepada kita mengenai pengetahuan-pengetahuan baharu tentang Marikh.

Imej cover adalah gambaran artis dari Nature Astronomy

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.