Utama Teknologi Kerajaan cadang laksanakan ‘WFH’, PdPR sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN 2025

Kerajaan cadang laksanakan ‘WFH’, PdPR sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN 2025

238
0

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan telah mencadangkan kepada kabinet untuk mempertimbangkan pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) dan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini.

Sidang tersebut akan diadakan sebanyak dua kali pada tahun ini iaitu Mei dan Oktober. Perkara ini dinyatakan selepas upacara pelepasan Presiden China Xi Jinping awal hari ini.

Presiden Xi Jinping berada di Malaysia selama tiga hari untuk kunjungan rasmi dari 15 hingga 17 April. Dalam tempoh kunjungan tersebut, terdapat sejumlah jalan-jalan raya di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya ditutup dengan jalan menghala ke KLIA 2 tidak boleh diakses buat sementara waktu.

Atas sebab itu, kebanyakan pengguna jalan raya perlu menggunakan laluan alternatif dan berhadapan dengan kesesakan lalu lintas atau menggunakan mod pengangkutan lain.

Bercakap kepada Bernama hari ini, Datuk Seri Mohamad Hasan menyatakan cadangan ini hadir setelah mengambil kira kesukaran yang dihadapi oleh orang ramai. Menjelang Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di Kuala Lumpur, beliau menyatakan cadangan ini membolehkan penjawat awam dan sekolah bekerja dan menjalankan pembelajaran dari rumah.

Beliau juga memohon maaf di atas  kesulitan yang dihadapi oleh pengguna jalan raya ketika tempoh penutupan jalan tersebut.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.