Utama Mobile Aplikasi Bank Negara Malaysia minta bank-bank untuk tidak lagi gunakan SMS OTP

Bank Negara Malaysia minta bank-bank untuk tidak lagi gunakan SMS OTP

413
0
BNM henti guna SMS OTP

Menggunakan kata laluan sekali (one-time password, OTP) melalui SMS sebelum ini merupakan antara pilihan pengesahan dua-faktor terbaik. Lama kelamaan, kaedah ini mula dilihat tidak begitu selamat sebagaimana ketika ia mula diperkenalkan.

Kini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah meminta institusi kewangan tempatan untuk beralih dari menggunakan SMS OTP kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat bagi mengatasi masalah penipuan kewangan.

Menerusi satu hantaran di Twitter rasminya, Bank Negara Malaysia menggariskan lima langkah yang boleh dibuat oleh institusi kewangan dalam melindungi pelanggannya. Antaranya mengehadkan pengguna untuk menggunakan satu peranti sahaja bagi membuat pengesahan perbankan dalam talian.

Selain itu, ‘cooling-off period’ juga perlu diperkenalkan bagi pendaftaran pertama untuk perbankan dalam talian atau peranti yang digunakan.

Bank-bank tempatan juga diminta untuk mengukuhkan peraturan pengesanan penipuan untuk mengenalpasti dan menyekat transaksi sehingga disahkan oleh pengguna bahawa transaksi berkenaan adalah tulen.

Akhir sekali, institusi kewangan juga diwajibkan untuk mewujudkan satu talian khidmat bantuan khusus dan meningkatkan kadar maklumbalas dalam menerima aduan penipuan dari pengguna.

Untaian panjang tersebut juga menyatakan pihak BNM mengambil maklum langkah keselamatan tambahan ini akan menjadikan perbankan dalam talian kian rumit berbanding sebelum ini. Walaubagaimanapun, langkah ini penting demi keselamatan pengguna.

BNM juga menyatakan pihaknya akan terus memantau dan mengambil tindakan yang sewajarnya bersama-sama institusi kewangan tempatan bagi memastikan pematuhan piawaian kawalan dan keselamatan tertinggi dapat dipatuhi.

Untuk itu, marilah kita sama-sama berganding bahu menjaga keselamatan dan kekal selamat ketika menjalankan sebarang urusan dalam talian.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.