Pantang barangan elektronik terkena air. Kalau terkena air tumpah, memang boleh rosak la barang tu jadinya kerana cecair mampu merosakkan komponen-komponen di atas litar elektronik yang sedang mengalir arusnya. Ia juga merbahaya kepada pengguna kerana ia juga boleh menyebabkan renjatan elektrik.

Antara peranti-peranti ICT yang sering terdedah demgam risiko air tumpah adalah laptop. Ini adalah berdasarkan pengalaman saya bekerja di dalam bidang ICT selama sepuluh tahun. Hal ini berpunca dari natijah laptop itu sendiri yang mudah untuk dibawa ke mana-mana terutamanya di kalangan sesetengah pelajar yang membawa laptop ke restoran untuk menyiapkan assignment.

Tindakan awal terhadap laptop yang ditumpahi air adalah sangat mustahak kerana ia dapat mengurangkan tahap kerosakan laptop berkenaan. Lebih pantas dan tepat tindakan pengguna, lebih rendah risiko laptop berkenaan untuk rosak.

Pertama sekali langkah yang perlu anda lakukan sewaktu air tumpah pada laptop adalah mematikan komputer anda. Cara mematikan laptop anda bukanlah menutup dengan cermat seperti kebiasaan yang kita lakukan dengan klik pada ikon ‘Shut Down’ pada Windows. Sebaiknya, anda perlu menekan lama pada butang ‘Power’ laptop anda sehingga ianya dimatikan.

Itupun, anda perlu pastikan bahawa tangan dan butang ‘Power’ laptop berkenaan dalam keadaan kering. Anda boleh menggunakan kain pengelap bagi mengelakkan lebih banyak air meresap melalui ruang-ruang kecil pada laptop.

Seterusnya, cabut kesemua yang berkaitan dengan sumber elektrik laptop berkenaan. Tanggalkan plug adapter AC dari soket elektrik dan tanggalkan baterinya sekali andainya model laptop anda boleh ditanggalkan baterinya.

Kini sekurang-kurangnya anda selamat dari renjatan elektrik. Seterusnya, tanggalkan segala yang bersambungan laptop anda seperti tetikus, kabel, pendrive dan lain-lain lagi. Kalau anda ingin selamat lagi, tanggalkan RAM dan hard disknya sekali. Jemurkan bersama-sama laptop anda sehingga ia betul-betul kering.

Nak jemur ni, dalam rumah pun boleh. Tak payah nak letak bawah cahaya matahari. Kang kena curi laptop tu, tak pepasal rugi.

Tips tindakan ini sesuai bagi insiden tumpahan air kosong dan jika air manis seperti teh tarik yang tumpah pada laptop anda, anda perlu membawakannya ke kedai membaiki laptop untuk memeriksa tahap kerosakan pada laptop anda untuk dibaiki secara profesional.

Jangan gatal-gatal pi basuh laptop tu kat sinki pulak.

Imej cover diperoleh dari Shutterstock

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.