Astro akan memulakan program percubaan bagi Ultra Plug & Play Box tidak berapa lama lagi. Kotak televisyen baharu ini tidak memerlukan piring satelit dan telah diperkenalkan secara umum ketika pembentangan laporan kewangan suku tahunan pertama syarikat minggu lalu.

Diumumkan melalui satu hantaran di Facebook, Astro tidak memperincikan lebih lanjut mengenai program percubaan ini. Setakat yang diberitahu, program ini akan melibatkan 300 pelanggan dan tidak dipastikan sama ada ianya melibatkan pelanggan baharu atau pelanggan sedia ada.

Hantaran tersebut juga tidak menyatakan sama ada anda perlu mendaftar pelan langganan tertentu untuk menyertainya. Menurut Astro, Ultra Plug & Play Box akan dihantar terus kepada pelanggan dan akan diberikan akses Astro GO sementara menantikan kotak berkenaan tiba.

Dari segi keperluan sambungan rangkaian, Astro telah menyatakan kelajuan 30Mbps adalah paling minima yang diperlukan oleh Ultra Plug & Play Box. Sebagai perbandingan, Astro Ultra Box sedia ada yang masih memerlukan satelit untuk suapan kandungan memerlukan kelajuan internet sekurang-kurangnya 10Mbps.

Berbeza dengan program percubaan lain Astro sebelum ini, tiada laman web berkenaan program percubaan ini disediakan buat masa ini. Bagi anda yang berminat untuk menyertai program percubaan ini, anda perlu menghubungi nombor talian WhatsApp rasmi Astro atau melalui panggilan telefon.

Tinggalkan komentar